top of page

Kerajaan Selangor perjelas isu banjir pada sidang DUN hari ini - Amirudin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 27
  • 2 min read

Kerajaan Negeri Selangor akan memberi penjelasan status, kemajuan dan cabaran projek tebatan banjir yang sedang dilaksana pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas bagi menangani isu banjir, selaras dengan keperluan semasa dan cabaran perubahan iklim.


"Kami sedar isu banjir mendapat perhatian ramai. Jadi, Kerajaan Negeri akan menjawab secara berhemah dan tersusun bagi memastikan semua langkah yang diambil dapat difahami dengan jelas oleh rakyat


"Justeru, penjelasan menyeluruh akan dibuat oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim selepas sesi perbahasan di DUN Selangor pada Isnin ini," katanya dipetik.


Amirudin berkata begitu ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan sumbangan Insentif Haji Muassasah 2026 Peringkat Parlimen Gombak melibatkan DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Klang semalam.


Sementara itu beliau menegaskan bahawa isu tersebut yang dibangkitkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.


Beliau turut menjelaskan bahawa pentadbirannya juga sudah mengorak langkah menjalin kerjasama dengan Belanda bagi meningkatkan strategi pengurusan banjir.


"Projek rintis di Sungai Bernam di Sabak Bernam dilaksana bertujuan mengurangkan dan mengawal risiko banjir menerusi kepakaran teknikal dan kejuruteraan asing dengan penglibatan agensi teknikal tempatan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

"Sebahagian projek juga melibatkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan yang memberi kesan kepada tempoh pelaksanaan termasuk projek di Sungai Langat yang masih tertakluk kepada proses kawal selia dan kelulusan.


"Meskipun berdepan cabaran, pelaksanaan projek tebatan banjir di negeri itu berjalan secara konsisten dengan menyaksikan kesinambungan dari tahun sebelumnya," tambahnya.


Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak sementara itu memaklumkan, beberapa usaha yang dilaksanakan juga menunjukkan perkembangan positif.


Ia termasuk di Bukit Lanchong, Subang Jaya yang sebelum ini sering dilanda banjir, namun mencatatkan pengurangan yang signifikan selepas kerja naik taraf projek tebatan banjir dilaksanakan pada 2021.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page