Kerajaan Selangor pastikan 80 murid SRI Al Afsari dapat duduki UPKK - Exco
- Suara Keadilan

- Nov 6
- 1 min read

Kerajaan Negeri mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyegerakan urusan penempatan 80 murid Sekolah Rendah Islam (SRI) Al Afsari, Saujana Putra, Puchong.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah (gambar) berkata langkah itu bagi membolehkan semua calon berkenaan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) di sekolah berhampiran yang berdaftar dengan Jais tanpa sebarang gangguan.
"Kerajaan Negeri telah mengarahkan JAIS menyegerakan urusan penempatan agar 80 calon ini dapat mengambil peperiksaan UPKK di sekolah berhampiran yang berdaftar dengan Jais dan proses berjalan lancar," katanya dipetik.
Media sebelum ini melaporkan isu 80 murid berkenaan yang tidak dapat menduduki UPKK yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 20 November ini kerana sekolah swasta berkenaan tidak berdaftar dengan jabatan berkenaan.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata UPKK dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), manakala pihaknya bertindak sebagai badan perantara di negeri ini mengikut syarat yang ditetapkan.
"SRI Al Afsari tidak berdaftar mengikut Seksyen 12 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Selangor) 1988 (Pindaan 2001). Disebabkan itu, Jakim selaku penganjur tidak membenarkan pelajar sekolah berkenaan menduduki UPKK sesi 2025," katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu Dr Fahmi berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan tiada calon tercicir dari menduduki peperiksaan penting itu, dan JAIS dijangka memaklumkan kaedah penyelarasan penempatan calon dalam masa terdekat.
"Fokus utama kami adalah memastikan semua calon terlibat mendapat tempat dan boleh menduduki UPKK tanpa masalah," jelasnya.









Comments