Kerajaan Selangor pantau rapat isu jalan Desa Aman Puri
- Suara Keadilan

- Sep 9
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) menegaskan masalah kesesakan jalan di Desa Aman Puri, Bukit Lanjan perlu segera diselesaikan.
Pendirian itu dinyatakan dalam mesyuarat yang diadakan pada Isnin bertujuan mencari penyelesaian terhadap isu yang sudah berlarutan sekian lama itu.
"Isu ini tidak boleh terus ditangguh dengan alasan kajian tetapi kaji sampai bila baru penyelesaian nak dibuat?
"Yang menyedihkan, hampir 30 tahun jalan ini tidak pernah dinaik taraf. Saya tidak faham bagaimana rungutan rakyat boleh didiamkan sebegini lama," tegas Saifuddin menerusi satu kenyataan.
Mesyuarat tersebut dihadiri pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan, selain dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Phua Pei Ling.
Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memaklumkan, kesesakan jalan di kawasan tersebut hampir sampai ke paras kritikal dengan penarafan jalan tersebut telah mencapai paras F.
Sementara itu menurut Saifuddin, Kerajaan Negeri meletakkan penanda aras yang tidak membenarkan sesuatu isu mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan.
Justeru beliau akan memanggil semula mesyuarat susulan dalam tempoh dua bulan bagi menilai perkembangan usaha yang dilakukan bagi menaik taraf jalan tersebut.









Comments