Kerajaan Selangor mahu perkasa sukan Muay Thai
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan Selangor bersedia untuk merangka usaha memperkasa perkembangan sukan Muay Thai dengan menjalin kerjasama lebih teratur bersama atlet muda negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo, yang kini berlatih secara profesional di Thailand.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Najwan Halimi berkata, perkara tersebut dibincangkan ketika menerima kunjungan Jojo bersama ibu bapanya di pejabat beliau petang semalam.
"Kami membincangkan pelbagai perkara terkait pembangunan sukan muaythai merangkumi aspek kejurulatihan, fasiliti kecergasan, pusat latihan, penganjuran acara dan lain-lain.
"Jojo yang kini sedang menjalani latihan sepenuh masa di Thailand turut menzahirkan hasrat untuk memainkan peranan lebih aktif dalam membantu pembangunan ekosistem sukan muaythai di Malaysia khususnya di negeri Selangor.
"Saya menyambut baik hasrat Jojo dan menyatakan komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk turut serta membantu pembangunan sukan muaythai menerusi kolaborasi masa hadapan yang berpotensi digerakkan secara praktikal," katanya dalam satu kenyataan.





