Kerajaan Selangor komited sokong pembangunan sukan permotoran
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus komited menyokong pembangunan sukan permotoran sebagai platform melahirkan bakat baharu dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Tekad itu dinyatakan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi satu perkongsian di Facebook selepas hadir menyaksikan perlumbaan PETRONAS MotoGP Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad.
"Sokongan terhadap pembangunan sukan ini penting bagi memperkukuh ekosistem sukan berprestasi tinggi di negeri dan negara," katanya dipetik.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke Siew Fook serta Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi.
Menerusi hantaran sama Amirudin menzahirkan rasa teruja untuk menyaksikan aksi pelumba wildcard Motor negara, Hakim Danish Ramli walaupun gagal menamatkan perlumbaan ekoran masalah teknikal
"Walau apa pun, semangat juang dan keberanian beliau wajar dijadikan inspirasi buat anak muda negara untuk terus melangkah jauh dalam arena sukan permotoran," tambahnya.
Hakim Danish berdepan isu jentera ketika saingan berbaki lima pusingan, ketika bersaing sengit dalam kelompok 10 terbaik di hadapan ribuan penyokong tempatan yang hadir memberi sokongan.
Beliau bagaimanapun menyifatkan penyertaan sulungnya di pentas berprestij itu sebagai pengalaman berharga.









Comments