Kerajaan Negeri boleh menurunkan harga barang sekiranya mencontohi tindakan kerajaan Selangor yang menjual ayam RM8 sekilogram.
Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menteri kerajaan BN sepatutnya boleh buat lebih baik kerana banyak agensi penguatkuasaan dan peruntukan di bawah bidang kuasa mereka.
"Harga barang bagi orang bandar ayam, sayur, telur. Kampung pula baja, racun semua naik. Apa alasan kerajaan? Ini faktor antarabangsa perang Rusia - Ukraine. Hotak kamu. Perang baru dua minggu, naik harga barang dah berbulan.
"Tak kan tak boleh buat apa apa, mustahil. Kamu jadi Menteri buat apa. Gaji RM70,000. Kalau tak boleh buat apa apa bagi balik RM70,000, duduk rumah.
"Selangor boleh turunkan harga ayam, harga sayur. Itu namanya kerajaan," kata Anwar dalam ceramah di Flat Larkin Jaya, petang tadi.
Beliau menyeru penduduk di flat itu agar menyokong Dr Zamil calon DUN Larkin esok bagi mengangkat masalah penduduk ke Dewan Undangan Negeri.
"Dr Zamil, dia menang 12 Mac. Dalam seminggu dia mesti datang sini catat apa masalah dan gegarkan DUN. Dia kena lapor terus ke pejabat presiden parti.
"Politik ini untuk apa? Pilihan raya bukan sekadar menang parti itu, ini tetapi kebajikan rakyat. Pertama rumah, keselesaan hidup. Kedua pekerjaan. Yang lulus universiti, semua tunggu kerja.
"Penyelesaiannya .... buat pilihan raya. Ini otak apa? Orang nak kerja yang kamu sibuk nak buat pilihan raya kenapa?" katanya.
Tegas Anwar negara tidak akan selamat dengan cara politik Umno BN. Lebih tinggi kuasa dan pangkat maka lebih banyak 'merembat' harta rakyat. Manakala siasatan dan hukuman pula hanya untuk orang biasa dan bukannya pemimpin politik.
"Curi RM100 tangkap masuk lokap. Curi RM10 juta boleh runding. Curi RM10 bilion kes tutup.
"Dia jawab saya bukan curi. Ini bukan korupsi. Ini komisen. Saya Tan Sri, tak ada korupsi, ambil komisen saja.
"Mengapa saya sokong Dr Zamil sebab dia ini khidmat baik, peribadi baik, jiwa ke arah bantu rakyat. Bukan senang nak cari calon macam ini," katanya lagi.
Justeru, Anwar melantik hadirin yang mendengar ceramah beliau menjadi Ketua Penerangan Larkin, cari 10 kawan kawan untuk diyakinkan supaya mengundi calon KEADILAN esok hari.
Kommentare