top of page

Kerajaan Selangor bidas fitnah isu bantuan sekolah aliran Cina

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 5
  • 2 min read

ree

Kerajaan Negeri Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan palsu di media sosial kononnya ia baru sahaja membuat keputusan menyerahkan tanah kepada sekolah aliran Cina.


Pihaknya menegaskan, pertemuan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari bersama Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia semalam telah diputar belit oleh pihak tidak bertanggungjawab.


"Di beberapa platform media sosial, kunjungan hormat itu digambarkan seolah-olah Kerajaan Negeri telah menggadaikan tanah untuk pembinaan sekolah Cina.


"Sedangkan pemberian tanah sekolah bukan perkara baharu. Ia dibuat berdasarkan keperluan kapasiti pelajar yang semakin meningkat," kata kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar itu.


Pejabat Menteri Besar turut menegaskan, bahawa keputusan pemberian tanah untuk pendidikan tidak hanya melibatkan sekolah Cina, sebaliknya turut membabitkan Pusat Pendidikan Al-Amin di Gombak.


Bantuan RM300,000 turut disalurkan untuk pembinaan asrama pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Midlands.


Semakan mendapati, fitnah yang berpotensi mengganggu keharmonian kaum itu dikesan mula disebarkan melalui laman Facebook Gerakan Pengundi Sedar.


Setakat malam tadi, lebih 1,200 pengguna dikesan berkongsi berita palsu yang turut mendakwa Kerajaan Negeri membuat pengiktirafan baharu terhadap Sijil Pemeriksaan Bersama (UEC).


"Berkaitan UEC, keputusan pengiktirafan telah dibuat sejak 21 Oktober 2015 oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, bukannya keputusan baharu," tegas Pejabat Menteri Besar.


Kenyataan sama turut menjelaskan, Sejak 2009, Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan pendidikan berjumlah RM244.124 juta.


Bantuan itu meliputi semua aliran sekolah di negeri ini termasuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah kebangsaan serta sekolah menengah kebangsaan bagi memastikan anak-anak Selangor mendapat pendidikan dalam suasana selesa dan kondusif demi masa depan negeri dan negara.


"Justeru, bantuan kepada sekolah dan pelajar harus dilihat daripada sudut pendidikan, bukannya dijadikan bahan untuk memecahbelahkan masyarakat atau menimbulkan syak wasangka antara kaum," menurut kenyataan itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page