Kerajaan Selangor beri bantuan RM 343,080 rancakkan ekonomi gig belia
- Redzuan Shamsudin
- Aug 15, 2021
- 1 min read

Kerajaan Selangor menyediakan dana bantuan RM3 juta kepada golongan belia yang menyertai gig ekonomi dalam sektor penghantar barangan.
Menurut Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman, Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang menyediakan bantuan RM500 kepada setiap penerima itu telah masuk tahun kedua dan telah merancakkan aktiviti penghantar barangan yang diceburi belia di negeri itu.
"Kerajaan Negeri mengambil maklum usaha para belia mencari sumber ekonomi menceburi perniagaan berasaskan perkhidmatan penghantaran makanan melalui beberapa syarikat yang terdapat di negeri Selangor.
"Sebagai langkah mendokong aktiviti belia yang terlibat dengan perkhidmatan ini, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah memasuki tahun kedua menyerahkan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) kepada belia kita di negeri Selangor dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM 2 juta setahun.

"Program hari ini merupakan majlis penyerahan cek kepada para pemohon bantuan tahun 2020 bagi daerah Petaling Jaya, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam berjumlah RM 343,080.
"Manakala penyerahan cek kepada para pemohon bantuan bagi daerah Gombak, Hulu Langat, Petaling, Kuala Langat, Sepang dan Klang akan disempurnakan oleh Menteri Besar kelak," kata beliau dalam program serahan cek Sumbangan P-Hailing di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras Tengah Seksyen U19, pagi tadi.
Tambah Khairuddin yang juga Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Kerajaan Selangor telah menerima 3,000 kuota penerima bantuan p-hailing pada tahun lepas dan telah membuka 3,000 kuota lagi untuk tahun 2021.
"Kerajaan Negeri sentiasa komited membantu meningkatkan taraf ekonomi belia di saat krisis Covid-19 melanda. Diharapkan dengan adanya inisiatif ini dapat merancakkan lagi ekonomi gig yang menjadi ‘trend’ di kalangan belia ketika ini," ujarnya.
Pemohon yang berminat boleh membuat permohonan dengan melayari laman web www.msnselangor.gov.my
Commentaires