Kerajaan Selangor bantu tangani risiko banjir kilat di UIS
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri akan menyelaras usaha penyelenggaraan serta pendalaman kolam takungan di Universiti Islam Selangor (UIS) bagi mengurangkan risiko berlaku banjir kilat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya mendapati kolam tadahan sedia ada perlu diselenggara semula untuk memastikan sistem saliran berfungsi dengan lebih baik.
"Saya akan bantu untuk pastikan kolam tadahan ini didalamkan dan diselenggara untuk pastikan UIS tidak terjejas disebabkan oleh hujan lebat sebagaimana yang pernah berlaku beberapa tahun yang lepas.
"Insya-Allah, saya dengan YB Sany (Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan), Kerajaan Negeri akan segera bantu untuk selesaikan. UIS akan menyelaras lantikannya sebab aset itu berada dalam kawasan universiti. Saya akan maklumkan kepada Naib Canselor," katanya dipetik.
Amiruddin sebelumnya hadir ke majlis Qiamullail Perdana, sahur dan Subuh Berjemaah di Masjid Al-Azhar, UIS hari ini.
Media pada Rabu melaporkan kejadian banjir kilat di pintu masuk utama universiti pada Rabu lalu susulan hujan lebat berterusan.
Situasi itu menimbulkan keresahan dalam kalangan warga universiti selepas hujan lebat berterusan menyebabkan kolam takungan melimpah, sekali gus mengakibatkan paras air meningkat dengan cepat di kawasan sekitar kampus.




Comments