Pengursan jalan raya di Selangor antara yang paling rumit di Malaysia kerana negeri tersebut merupakan negeri maju dan mempunyai jaringan jalan raya paling banyak di negara ini.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pemantauan menggunakan kaedah sedia ada agak sukar untuk mengetahui kesemua jalan yang rosak pada satu satu masa.
Sehubungan itu, satu Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar dilaksanakan bagi memudahkan orang ramai melaporkan jalan yang rosak untuk dibaiki segera.
"Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mendengar keluhan rakyat berkenaan keadaan jalan raya di Selangor. Sebagai salah satu ikhtiar menyelesaikan masalah ini, Kerajaan Negeri sedang perluaskan pembangunan Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar melalui integrasi dengan teknologi baharu. Antaranya kamera pintar, kamera 360, dron dan juga teknologi cerapan AI.
"Hasil cerapan dan analisa data kemudiannya akan diintegrasi dalam satu sistem berpusat supaya tindakan segera dapat dilaksanakan dengan efektif.
"Para pengguna juga boleh bantu melapor apabila integrasi media sosial turut disiapkan kelak," katanya.
Matlamat akhir daripada sistem baharu pengurusan jalan raya itu, kata MB, adalah untuk mempercepatkan tempoh pembaikan kerana rakyat sering merungut mengenai kualiti jalan jalan negeri di Selangor yang sesetengahnya rosak teruk akibat tidak dikesan daripada awal.
"Pengurusan jalan negeri kelak akan lebih efektif, menyeluruh dan berkonsep ‘real-time solution’. Setakat ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memanfaatkan teknologi ini.
"Ini adalah ikhtiar selaras visi Smart Selangor 2025. Ini bukan saja meningkatkan kualiti perkhidmatan rakyat, malah bukti kesungguhan kita mendepani perubahan zaman," kata Amirudin lagi.
Comments