top of page

Kerajaan Selangor arah Pejabat Daerah cepat selesai isu setempat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor memperkukuh tindakan di peringkat tempatan dengan mengarahkan semua pejabat daerah memberi tumpuan segera terhadap isu-isu setempat yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, antara yang perlu diberi keutamaan adalah untuk menyegerakan dan memuktamadkan isu pembuangan sampah haram, pencerobohan tanah serta permasalahan pemilikan tanah dan hak milik strata yang masih berlarutan di beberapa kawasan.


Beliau menegaskan, fokus utama pentadbiran negeri kekal kepada pelaksanaan program teras kerajaan, pengurusan bencana dan pengukuhan hal ehwal kedaerahan bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa terbela.


"Saya optimis barisan hadapan negeri Selangor boleh bergerak dengan lebih tangkas, bersepadu dan berdaya adaptif melalui gagasan Kita Selangor yang menjadi nadi gerak kerja Kerajaan Negeri," katanya menerusi hantaran di Facebook.


Hantaran itu menyusul sesi pertemuan bersama Datuk Bandar serta Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor di kediaman rasmi Menteri Besar di Shah Alam pada Selasa.


Pertemuan yang disertai Setiausaha Kerajaan Negeri itu bagi mendapatkan gambaran langsung mengenai isu serta perkembangan semasa di kawasan masing-masing.


Hasil pertemuan jelasnya akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dibincangkan secara menyeluruh, termasuk mengenal pasti langkah penyelesaian segera terhadap isu-isu setempat yang dibangkitkan.


Menerusi hantaran sama, Amirudin menyatakan penghargaan atas komitmen semua PBT selaku baris hadapan Kerajaan Negeri dalam menyantuni rakyat Selangor seluruhnya.


Beliau turut berharap, setiap PBT lebih aktif untuk mengetengahkan pencapaian yang diraih di setiap lokaliti agar dapat difahami rakyat.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page