
Kerajaan Negeri pada tahun ini akan meneruskan pertandingan nyanyian Selangor Junior Superstars dengan sasaran lebih 100 penyertaan.
Menurut Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat Datuk Menteri Besar, Dr Gunaraj George, pertandingan nyanyian solo versi Tamil itu mempunyai syarat penyertaan sama seperti tahun lalu iaitu terbuka kepada peserta berusia 9 hingga 15 tahun.
"Ini merupakan tahun kedua penganjuran program yang mana kali pertama diadakan pada 2021. Pada kali ini program melibatkan golongan profesional iaitu Persatuan Artis Tamil Negeri Selangor.
"Program ini diteruskan bagi memberi peluang anak-anak muda menunjukkan bakat di samping dibimbing golongan profesional dan mentor daripada artis tempatan," katanya dalam sidang media semalam.

Menurut Ahli Dewan Negeri Sentosa itu lagi, hadiah wang tunai yang ditawarkan kali ini secara keseluruhannya RM15,000 melibatkan juara, naib juara dan tempat ketiga.
Permohonan penyertaan dibuka bermula 14 hingga 24 April dan pendaftaran dibuat melalui pautan https://bit.ly/SJS2023
Pihak penganjur menjangkakan lebih 100 penyertaan dari seluruh negeri Selangor. Manakala uji bakat akan diadakan pada 30 April ini. Sebanyak 20 peserta akan berpeluang ke separuh akhir. Hanya 10 peserta masuk ke peringkat akhir yang dijadual diadakan pada 28 Mei 2023 di Dewan Hamzah, Klang.
Pertandingan ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor bagi mencungkil bakat dan mewujudkan platform untuk kanak-kanak demi menjamin masa depan yang lebih baik dan cemerlang.
Comments