Kerajaan sedia dengar teguran, nasihat dari ulama institusi pondok
- Suara Keadilan

- Jul 20
- 1 min read

Kerajaan MADANI menyeru institusi pondok agar supaya lebih aktif dalam menyumbang pandangan terhadap dasar negara dan pembangunan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (gambar) berkata, seruan itu seiring dengan pendekatan inklusif dan pembaharuan yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kalau ada isu yang dirasakan perlu ditegur dan dinasihati, kerajaan sedia mendengar. Ini juga adalah hasrat Perdana Menteri — supaya para pemimpin negara terus rapat dengan ulama yang membimbing ke arah jalan yang benar.
"Keterbukaan kerajaan terhadap nasihat dan pandangan daripada ulama pondok adalah sebahagian daripada pendekatan Kerajaan Perpaduan dalam memartabatkan nilai agama dalam pentadbiran," katanya dipetik.
Mohd Na'im berkata begitu pada acara menutup Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan 2025 (UMRAN) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Sabtu.
Sementara itu Mohd Na'im berkata institusi pondok tidak seharusnya kekal sebagai institusi kampung semata-mata.
Sebaliknya, ulama pondok mesti diberi peranan aktif dalam dasar negara, bukan hanya di masjid dan madrasah, tetapi juga dalam jawatankuasa syura, perbincangan dasar, dan pembangunan masyarakat.
Justeru beliau turut menyarankan supaya institusi pondok melaksanakan pembaharuan bersesuaian dengan tuntutan semasa, termasuk meningkatkan kefahaman terhadap wacana ilmu kontemporari dan isu-isu global.
Langkah tersebut tegasnya dapat memastikan institusi pondok terus relevan dan berperanan besar dalam mencorakkan hala tuju negara yang berteraskan nilai-nilai Islam dan kesejahteraan rakyat.









Comments