Kerajaan salur bantuan ahli keluarga peserta Global Sumud Flotilla - Fahmi
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada ahli keluarga 34 rakyat Malaysia yang ketika ini yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela.
Perkara tersebut disampaikan oleh Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil selepas mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.
''Ia tidak dibincangkan secara khusus (dalam mesyuarat Kabinet hari ini), tetapi seperti umum sedia maklum, PM Anwar telah melawat Pusat Kawalan Sumud Flotilla di ibu negara semalam.
''Beliau telah memaklumkan ada beberapa bentuk bantuan yang akan diuruskan terhadap 34 keluarga peserta,'' katanya.
Menurut Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, kerajaan dimaklumkan terdapat pasukan ketiga dari Malaysia sedang dalam perjalanan dari Greece ke Gaza dalam gelombang ketiga, sekali gus menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang terlibat lebih ramai.
''Untuk keluarga mereka di sini, ada bantuan yang telah disediakan.. Bagi peserta pula, sekiranya berlaku apa-apa, kerajaan akan memastikan bantuan diberikan kepada mereka,'' ujarnya lagi.
Fahmi turut memaklumkan, GSF akan melalui fasa paling merbahaya malam ini waktu Malaysia apabila bot bot membawa bantuan akan bergerak dari perairan antarabangsa yang digelar zon kuning ke zon merah, iaitu perairan Gaza yang dikepung tentera Israel.