Satu dasar bagi menjamin keselamatan sosial golongan pekerja ekonomi gig terutama yang membabitkan pekerja e-hailing agar tidak didiskriminasi oleh majikan sedang dirangka kerajaan.
Menteri Sumber Manusia (KSM) V Sivakumar berkata, dasar itu kini sedang dalam proses penggubalan di peringkat kementerian.
Beliau menjangkakan akan menerima garis panduan berkenaan perkara itu daripada pegawainya dalam dua minggu lagi untuk diteliti.
"Kementerian memang sedang merangka satu dasar untuk melihat bagaimana kerajaan boleh membantu supaya golongan ini tidak didiskriminasi oleh majikan mereka, serta memberi mereka perlindungan sosial," katanya.
Sivakumar berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 Negeri Pulau Pinang pada Ahad.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Mei lalu berkata, akta itu akan memperincikan soal pendapatan setimpal yang harus dibayar syarikat gig kepada pekerja selain manfaat lain dan jaminan pekerjaan menjelang peningkatan usia.
Tegasnya, tidak wajar untuk syarikat perkhidmatan mencipta keuntungan lumayan tetapi komisyen diterima oleh penghantar makanan yang meredah hujan dan panas adalah sedikit dan tidak setimpal.
Justeru jelasnya, KSM diminta merangka akta untuk membela nasib golongan itu.
Sementara itu, Sivakumar ketika mengulas lanjut isu tersebut berkata pihak kementerian tidak menolak cadangan penggubalan akta khas melibatkan pekerja e-hailing, bagaimanapun ia akan mengambil masa yang lama untuk direalisasikan.
Katanya pihak kerajaan buat masa ini akan membuat dasar dahulu, dan kemudian mengkaji secara terperinci tentang keperluan penggubalan akta khas berkenaan.
ความคิดเห็น