Kerajaan BN - PN dinasihatkan jangan menimpakan penderitaan penduduk di Kampung Kerinchi, Lembah Pantai kepada penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, pengambilan tanah secara paksa oleh kerajaan untuk diberikan kepada pemaju di Kampung Sungai Baru itu tidak wajar berlaku, malah telah begitu lama tidak berlaku di kawasan Wilayah Persekutuan.
"Sebenarnya penggunaan Akta Pengambilan Tanah telah lama tidak dilakukan di Kuala Lumpur. Kerajaan tidak seharusnya membenarkan pengambilan tanah cara keras.
"Sejak 2018 (setelah diangkat sebagai Ahli Parlimen) saya mula berkenalan dengan pemaju di kawasan Kerinchi. Sebab isu yang dihadapi oleh penduduk flat 4 tingkat (yang dirobohkan sebelumnya), sama ada isu Kampung Kerinchi atau kawasan sekitar (semua) menghadapi masalah di kemudian hari. Malah ada penduduk yang dipindahkan ke Residensi Kerinchi (juga mengalami masalah).
"Pada asalnya mereka sangat berterima kasih, tetapi akibat dari perancangan pemaju pada waktu itu, menjadi beban kepada penduduk asal Kampung Kerinchi apabila tiba tiba mereka terpaksa bayar kos selenggaraan ratusan ringgit dan sebagainya.
"Dulu ada dana RM1 juta disediakan oleh pemaju untuk bantu pemilik baru (menyerap yuran selenggaraan). Tetapi duit itu telah habis, perancangan tak ke mana dan tidak berjalan dengan lancar," kata Fahmi dalam sidang media bersama penduduk di Kampung Sungai Baru, pagi tadi.
Menurut Fahmi yang mempunyai banyak pengalaman pembangunan semula kawasan di Lembah Pantai, pembangunan yang asalnya mendapat tentangan daripada penduduk sebagaimana di Kampung Kerinchi memang akhirnya menemui kegagalan dan menyukarkan masyarakat awam.
Penduduk mendapat kediaman mungkin tidak seperti dijanjikan atau terpaksa menanggung hal hal lain yang berbangkit di kemudian hari.
"Jadi kalau nak buat projek biar dapat berkat dari penduduk kampung. Kalau tak dapat berkat, musibah yang akan melanda. Itu yang telah berlaku dan kita tidak mahu ia berulang," ujarnya.
Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia itu juga kesal dengan tawaran kerajaan dalam pusingan kedua proses pendengaran yang diadakan oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian kelmarin, yang menyebut kerajaan memberi pampasan sekitar RM500 sekaki persegi, sedangkan ketika pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu harga yang ditawarkan RM850 sekaki persegi.
"Kita pernah dengar apa yang dicadangan Khalid Samad (Menteri Wilayah era PH) RM850 sekaki persegi. Jadi apa sebenarnya berlaku?
"Keadilan untuk warga Kampung Sungai Baru mesti ditegakkan. Alasan 70% ke 80% warga sudah setuju (kerana itu yang lain perlu ikut setuju tidak wajar digunakan). Jangan buat macam di Kampung Kerinchi dahulu.
"Kalau satu penduduk pun hadapi masalah maka satu kampung perlu hadapi. Kepada pemaju saya akan pergi untuk bertemu mereka sampaikan masalah penduduk. Penduduk perlu teruskan perjuangan dan jangan takut," katanya lagi.
Comments