Kerajaan rakam takziah kemalangan helikopter Flying Doctor Service


Kerajaan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga lima mangsa nahas helikopter Flying Doctor Service (FDS) yang terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lelang, Baram, petang semalam.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar) berkata, dalam mesyuarat Jemaah Menteri, pihaknya dimaklumkan bahawa proses siasatan berhubung nahas itu sedang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
"Keputusan akan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri kelak.
"Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga lima orang mangsa nahas (itu)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Semalam, sebuah helikopter perkhidmatan FDS yang membawa lima penumpang dilaporkan terhempas dan terbakar.
Kesemua mangsa dilaporkan meninggal dunia dan helikopter jenis BO-105 berkenaan difahamkan digunakan bagi perkhidmatan penerbangan perubatan Flying Doctor ke kawasan pedalaman, termasuk membawa doktor dan petugas kesihatan bagi menyediakan perkhidmatan perubatan kepada penduduk di lokasi terpencil.




Comments