top of page

Kerajaan pusat perlu pantau kontrak penyelenggaraan jalan diJohor

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Nov 16, 2021
  • 3 min read


Kerajaan Persekutuan diminta untuk lebih telus memantau kontrak penyelenggaraan jalan raya di Johor.


Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, terdapat monopoli pengagihan kontrak untuk senggaraan jalan negeri, jalan Pihak Berkuasa Tempatan dan jalan luar bandar di negeri itu.


Situasi tersebut katanya tidak menguntungkan kontraktor kecil kerana syarikat konsesi besar yang diberikan kontrak ratusan juta ringgit mengagihkan projek kepada kontraktor kecil tanpa mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan.


"Kaedah sebegini bukan sahaja menimbulkan ketirisan atau kemungkinan berlakunya kebocoran tetapi menindas kontraktor kecil. Terutama usahawan Bumiputera sekali gus membantutkan pembangunan kontraktor belia sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2022," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, tengah hari tadi.


Menurut Akmal, berdasarkan Sekyen 5 (1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (CIDB), yang menetapkan "... tiada seorang pun boleh mengaku janji menjalankan atau menyiapkan mana-mana kerja pembinaan atau mengaku dirinya sebagai kontraktor melainkan berdafar dengan lembaga dan memegang perakuan pendaftaran yang sah dikeluarkan oleh lembaga ini", maka terdapat undang-undang yang mengikat kontraktor untuk mematuhi had kewangan projek.


Katanya, sebagai contoh kontraktor gred G1 had nilai perolehan kerjanya adalah sekitar RM200,000 ke bawah. G2 200,000 hingga RM500,000. G3 500,000 hingga RM1 juta. G4 RM1 juta hingga RM3 juta. G5 RM3 - 5 juta. G6 RM5 - 10 juta manakala G7 melebihi RM10 juta.


"Kontraktor diikat melalui kelasnya, G1 sampai G7. Bermakna setiap kontraktor hanya boleh dipelawa masuk tender bagi gred yang didaftarkan.


"Berdasarkan maklumat yang diperolehi pula, anggaran jumlah kontraktor kecil yang berdaftar di Johor hingga 2021 sekitar 7,572. Saya mohon kerajaan sahkan. Kalau ikut pecahan yang saya terima, kontraktor kelas G1 sebanyak 4,317 kontraktor, G2 1,918, G3 619, G4 322.


"Sepatutnya bila kerajaan perkenalkan gred maka ada kawal selia usahawa kontraktor mengikut kemampuan. Tanpa kawal selia maka ia akan menggagalkan penambahbaikan dan pengkhususan kemahiran bagi mewujudkan industri berteraskan know how. Jika kamu telah buat kerja G1 dan kamu ada kemampuan baik maka boleh naik gred.


"Malangnya kerja kerja diagihkan oleh salah satu syarikat konsesi kepada kontraktor kecil ini didapai gagal mematuhi syarat ditetapkan oleh CIDB sendiri," katanya.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia itu kemudian mempersoalkan mengapa terdapat kontraktor kecil yang menerima projek bernilai sekitar RM5,000 dan tidak mungkin boleh memajukan diri mereka dengan kerja-kerja yang lebih besar.


"Bila rujuk kepada agihan pakej kerja yang diagihkan ikut PBT, contohnya PBT Segamat, kerja yang diagihkan kepada kontraktor kecil nilainya sebanyak RM5,633. Kalau ikut gred cantik, G1 nilai boleh sampai RM200,000. Tetapi hakikatnya kebanyakan kerja yang diagihkan sekitar RM20,000 ke bawah.


"Kalau tengok di daerah lain pun, nilainya agak rendah dan melalui proses undian. Proses undian baik tetapi untuk G1 nilai projek yang diperolehi sangat rendah.


"Yang lebih parah projek diuruskan syarikat konsesi ini, lebih kurang 70 kerja bernilai RM40,000 hingga RM80,000, yang sepatutnya diberi kepada G1 diundi dalam kalangan kontraktor gred G2," katanya.


Oleh itu, bagi membetulkan keadaan Akmal meminta kementerian-kementerian di bawah Kerajaan Persekutuan memantau kaedah dan prosedur syarikat konsesi membahagi-bahagikan projek, yang mana terdapat kuasa tertentu di bawah kementerian bagi memastikan peraturan dilaksanakan.


"Namun bagi kerja kerja di atas RM200,000 syarikat konsesi ini tidak pula memberi maklumat bagaimana ia dilakukan. Perkara ini menimbulkan banyak persoalan mengenai akauntabiliti kerana cakap di bawah, adakah betul tohmahan untuk berjaya dalam bidang ini 'bukan berdasarkan merit tetapi mungkin berdasarkan kenal siapa, lobang mana?'


"Ini menimbulkan keraguan tentang keberkesanan Belanjawan 2022 yang mana kerajaan melalui CIDB akan mewujudkan kursus kepada kontraktor belia (untuk memajukan perniagaan).


"Sementara inisiatif belanjawan nampak elok, namun apakah masa depan kontraktor belia (terjamin) apabila agihan kerja kecil pun tidak ikut prosedur. Bila masuk ke realiti, peluang itu sangat nipis kepada kontraktor kecil," katanya lagi.


Justeru Akmal berharap Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menegur kepincangan yang berlaku dan menguatkuasakan peraturan tanpa memilih bulu.



Comentários


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page