Kerajaan PN wajib patuh perintah Agong, segerakan sidang Parlimen - KEADILAN Sarawak


Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Mahiaddin Yassin wajib melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dengan segera membuka Parlimen.


Ketua Penerangan Sarawak, Abun Sui Anyit berkata, sebarang dolak dalik mengenai tarikh pembukaan Parlimen tidak boleh diterima kerana Majlis Raja-raja juga telah mengeluarkan saranan sama.


Oleh itu KEADILAN Sarawak, kata Abun, berpendirian agar persidangan Parlimen wajar diadakan seawal bulan Jun.


"Persidangan Parlimen perlu dipanggil secepat mungkin seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan media Istana Negara kelmarin.


"Oleh kerana titah tersebut untuk membincangkan Ordinan-Ordinan Darurat 2021 maka KEADILAN Sarawak berpendapat persidangan Parlimen sebaik-baiknya diadakan dalam bulan Jun atau Julai ini.


"Parlimen boleh dipanggil bersidang pada bila-bila masa dalam tempoh darurat iaitu sebelum 1 Ogos 2021 oleh Agong, seperti termaktub di dalam Seksyen 14 Ordinan Darurat 2021," kata Abun.


Menurut beliau, Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa – Kuasa Perlu) 2021 itu berbunyi, Persidangan Parlimen 14(1), bagi tempoh darurat berkuatkuasa “..(b) Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang DiPertuan Agong.”


Oleh itu, katanya, Agong telah memikirkan waktu yang sesuai Parlimen perlu dipanggil “secepat mungkin” atau dengan “segera” sebagaimana kenyataan media yang dikeluarkan.


Bagi KEADILAN Sarawak, perkataan segera seperti dalam Kamus Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka juga difahami rakyat Malaysia selama ini, bermakna tidak "berlengah-lengah lagi".


Boleh jadi dalam masa satu atau dua hari dan bukannya maksud “segera” seperti yang dinyatakan oleh PM dan Menteri Kerajaan PN iaitu bertangguh sehingga ke bulan Oktober 2021.


"KEADILAN Sarawak turut menyokong kenyataan akhbar Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam, iaitu PM wajar mengundurkan diri sekiranya beliau enggan menasihati Agong selaras titah Baginda dalam kenyataan media Istana Negara


"Jika Parlimen tidak dipanggil bersidang oleh Kerajaan PN semasa tempoh darurat ini, menurut Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat 2021, bermakna Kerajaan PN secara kolektifnya tidak patuh kepada titah atau dalam bahasa istana disebut “menderhaka” kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.


"Ini suatu duluan yang tidak baik dan akan tercatat dalam lipatan sejarah tanah air kita yang tidak wajar diikuti pada masa depan.


"Jika Kerajaan PN tidak dapat melaksanakan apa yang dititahkan, langkah terhormat adalah PM meletak jawatan agar Kabinet turut terbubar dan PM baharu dilantik supaya nama baik negara dipulihkan di mata dunia," kata Abun lagi.


KEADILAN Sarawak juga, menurut Abun, mengingatkan jika Tan Sri Mahiaddin tidak berundur maka rakyat pasti akan membuat perhitungan terbaik dengan menghukum kesemua calon-calon PN dan yang ada hubungkait dengan gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER