Kerajaan PN terdesak, siasatan ke atas Anwar bermotif politik




Kerajaan Perikatan Nasional jelas terdesak dengan menolak bantahan umum meragui siasatan ke atas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa ahli politik pembangkang yang menghantar memorandum memohon Yang di-Pertuan Agong mengkaji semula pelaksanaan darurat.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Akmal Nasir berkata, siasatan tersebut jelas bermotifkan politik kerana selain Anwar, hanya beberapa pemimpin kanan pembangkang yang disiasat, sedangkan terdapat 114 Ahli Parlimen menghantar warkah rayuan berkenaan kepada Agong.


"Kenyataan Menteri Dalam Negeri jelas bermotifkan politik apabila hanya Datuk Seri Anwar dan beberapa individu sahaja yang akan disiasat sedangkan majoriti Ahli Parlimen telah menghantar warkah yang sama kepada Yang di-Pertuan Agong.


"Ini merupakan suatu tindakan terdesak Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan PN dengan menggunakan modus operandi yang tidak demokratik, memanipulasikan undang-undang dan eksploitasi penjawat awam demi kepentingan politik semata-mata.


"Menteri Dalam Negeri dilihat gopoh dengan mengeluarkan kenyataan politik yang jauh menyimpang daripada intipati sebenar warkah yang dihantar kepada Agong. Tindakan berbaur ugutan ini sama sekali tidak berasas dan membelakangkan hak Ahli Parlimen untuk menyampaikan warkah bagi mewakili serta menyampaikan hasrat rakyat kepada Agong," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, menghantar warkah kepada Agong merupakan hak Anwar sebagai Ahli Parlimen Port Dickson dalam melaksanakan peranan semak dan imbang beliau dalam sistem demokrasi. Maka hal tersebut tidak wajar dianggap satu kesalahan.


"Tindakan Datuk Seri Anwar dan Ahli-ahli Parlimen sudah pasti mempunyai asas perlembagaan yang kuat merujuk Perkara 150 (3) berhubung perisytiharan darurat yang boleh ditarik balik oleh Yang di-Pertuan Agong atau dibatalkan oleh Parlimen.


"Dalam hal ini, kekhilafan kerajaan yang menggantung Parlimen telah menjadikan hanya Agong sebagai saluran yang boleh menamatkan darurat.


"Kerajaan PN perlu segera menghentikan budaya ugutan sebegini serta menginsafi banyak tindakan mereka yang telah merugikan rakyat. Malaysia perlu berperanan sebagai sebuah negara hukum yang meletakkan undang-undang dan Perlembagaan sebagai teras keadilan dalam pentadbiran negara," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio