Kerajaan PN teknikalnya tumbang, mengapa GPS tidak tawar menawar jawatan TPM? - KEADILAN Sarawak


Episod penarikan sokongan oleh parti terbesar yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), iaitu Umno telah secara teknikalnya menumbangkan pentadbiran Perdana Menteri (PM) Tan Sri Mahiaddin Yassin.


Bagi KEADILAN Sarawak, dalam keadaan yang berkecamuk seperti itu Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu lebih cerdik untuk melihat peluang politik dan tidak perlu 'terjun gaung' bersama PN.


Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit, GPS sepatutnya membuat tawar-menawar sokongan di atas jaminan pemberian dana pembangunan lebih banyak setelah dianaktirikan oleh kerajaan pusat selama lebih setahun.


"Secara teknikalnya sokongan berdasarkan keputusan tersebut (Majlis Tertinggi Umno) dan bilangan Ahli-ahli Parlimen Umno sebanyak 38 orang sekarang ini boleh dianggap sudah tidak menyokong PM PN, Tan Sri Mahiaddin.


"Berdasarkan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, PM hendaklah meletak jawatan atau memohon perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong agar Dewan Rakyat dibubarkan.


"Walau bagaimanapun, dalam keadaan pandemik Covid-19, Yang Di-Pertuan Agong kemungkinan besar tidak akan memperkenan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15.


"Berhubung dengan situasi di atas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sepatutnya menarik balik sokongan kepada kerajaan gagal atau kepada PM Mahiaddin secara serta merta tanpa tunggu dan lihat episod-episod seterusnya," kata Abun dalam satu kenyataan.


Menurut beliau lagi, Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak beranggapan amat malang sekiranya GPS mensia-siakan peluang terbaik tersebut.


GPS, katanya, tidak akan dilihat berwibawa untuk terus mentadbir Sarawak sekiranya membisu sedangkan Umno yang menjadi sekutu sejak berdekad-dekad lalu telah mempamerkan kebijaksanaan berpolitik.


"Kalau GPS bijak, sudah tentu ini merupakan peluang keemasan untuk menganjak Sarawak ke mercu baru. GPS mempunyai blok yang kuat dan sudah pasti mereka ada kuasa tawar menawar.


"Kenapa tidak sokongan GPS yang telah disia-siakan oleh Kerajaan PN itu beralih pula kepada Pakatan Harapan menerajui negara.


"Ahli politik GPS mungkin boleh menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM). Ini bukan perkara mustahil dalam dunia politik," katanya lagi.


Semalam Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk menarik kembali sokongan kepada kerajaan PN.


Keputusan itu secara Perlembagaan telah menyebabkan kerajaan pimpinan Mahiaddin tumbang kerana pelantikan beliau sebagai PM oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1 Mac 2020 lalu berdasarkan sokongan parti politik, bukannya individu Ahli Parlimen.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER