top of page

Kerajaan PN mesti buktikan keabsahan sebelum bicara soal menasihati Agong - Anwar


Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu membuktikan keabsahannya terlebih dahulu sebelum berbicara mengenai nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri yang mesti digunapakai oleh Yang di-Pertuan Agong.


Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Peguam Negara semalam, yang menyatakan Agong hanya boleh memanggil sidang Parlimen dengan nasihat dari Kabinet, memetik Perkara 39, 40 dan 43 dan beberapa duluan.


"Saya melihat peruntukan yang dipetik tersebut selari dengan amalan norma Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen.


"Keabsahan mana-mana ketua kerajaan dalam mana-mana sistem yang demokratik tergantung pada keupayaan beliau dalam merangkul kepercayaan majoriti Ahli-ahli Parlimen.


"Jika kerajaan itu tidak punya keabsahan, maka buang masa untuk kita bicara tentang mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan, kecuali mereka yang benar-benar mahu mengembalikan keabsahan.


"Apa yang kita saksikan hari ini, undang-undang digunapakai sewenang-wenangnya bagi melindungi kerajaan yang tidak sah, maka kita Ahli-ahli Parlimen yang telah bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan mesti menyatakan sikap. Persoalan tentang keabsahan bukan hal teori.


"Keabsahan kerajaan PN tidak pernah dibuktikan sejak ia didirikan tahun lalu, dan menurut mekanisme yang sah di dalam Demokrasi Berparlimen, kerajaan mesti menjawab persoalan kepercayaan di Parlimen. Namun, itu tidak berlaku, dan ini meletakkan kedudukan Perdana Menteri dan seluruh kabinet dalam keadaan tidak selamat," kata Anwar hari ini.


Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, untuk kerajaan PN mendapat keabsahan, termasuk mendapatkan titah diraja, mereka mesti membuktikan sokongan majoriti di Parlimen. Sekiranya tidak, maka hal itu menampakkan kerajaan PN tidak serius mengenai kebertanggungjawaban,dan negara akan berada di bawah sistem diktator.


Tegas Anwar lagi, Perlembagaan menegaskan pengisytiharan Darurat dan Ordinan Darurat mesti didebat dan diundi di Parlimen. Kegagalan untuk menghormati Parlimen telah meletakkan Malaysia di dalam zon bahaya krisis Perlembagaan.


"Saya mengakui negara berdepan kemelut dan ini bukan masa untuk bermain politik. Sekarang adalah masa untuk bersatupadu, dan merungkai serta merencana tindakan yang tuntas.


"Sejarah telah menyaksikan banyak diktator yang mengambil kesempatan di saat kemelut bagi memajukan agenda jahat mereka sambil mengorbankan negara dan undang-undang.


"Saya menggesa Perdana Menteri dan Peguam Negara untuk bersikap konsisten dalam memetik peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan, dan menerima Perlembagaan secara keseluruhannya, dan bukan petik ikut suka," katanya.


Tambah Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi, kenyataan Peguam Negara yang merujuk kenyataan oleh Agong dan Raja-raja Melayu pada 16 Jun lalu ketika ini dilihat sebagai melampau dan menghina Istana Negara, dan ia akan mengheret negara ke lembah krisis Perlembagaan.


Katanya, Agong hanya menyampaikan kekecewaan majoriti Ahli-ahli Parlimen dan rakyat Malaysia, apatah lagi kerajaan PN masih gagal mengawal wabak meski dikurniakan kuasa darurat.


"Mengapa untuk mengadakan sidang Parlimen seolah-olah begitu sukar, sedangkan kilang-kilang, restoran-restoran dan kini ada beberapa Dewan Undangan Negeri juga sudah mula beroperasi?


"Kita juga maklum ada usaha yang sistematik sedang digerakkan untuk menggunakan Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Speaker Parlimen bagi melengahkan sesi Parlimen di saat kerajaan ini terus gagal mengemudi negara


"Mungkin sudah terlambat untuk membetulkan keadaan, tapi untuk mula membetulkannya, Parlimen mesti segera bersidang," katanya lagi.


Sekiranya tidak, Anwar memberi amaran, Malaysia akan terus dilihat sebagai antara negara yang paling lemah dalam mengawal pandemik, samada perolehan vaksin, tahap ujian saringan dan penggunaan langkah PKP.


Dalam masa yang sama, katanya ekonomi negara akan terus lingkup di mana jutaan warga akan jatuh miskin. Malah, ada beberapa pakar ekonomi juga meramalkan Malaysia akan menghadapi kemelesetan yang panjang.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page