top of page

Kerajaan PN lembab beri vaksin, mengapa tidak galakkan Kerajaan Negeri, swasta terlibat? - Anwar


Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang berjalan lembab menimbulkan desakan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuka proses penyediaan dan penyuntikan vaksin kepada Kerajaan Negeri atau syarikat swasta yang mampu melakukannya.


Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak sepatutnya Kerajaan Persekutuan terus memonopoli proses penyediaan vaksin sedangkan terbukti keupayaannya hanya berhasil menyuntik sebanyak 3% daripada jumlah populasi penduduk negara ini.


Kata Anwar, rakyat tidak mahu mendengar alasan bahawa negara kaya mengawal bekalan vaksin sedangkan terdapat pihak lain di negara ini yang boleh mengakses bekalan vaksin sekiranya kerajaan memberi kelonggaran.


"Menteri yang bertanggungjawab menyalahkan negara-negara kaya kerana memonopoli pasaran, sekaligus mengehadkan akses Malaysia terhadap bekalan. Saya telah dimaklumkan beberapa Kerajaan Negeri, syarikat swasta dan yayasan telah berusaha sendiri untuk memperolehi bekalan vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebagai respon terhadap kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik ini. Usaha mereka bagaimanapun tergantung lantaran dilengahkan oleh Kementerian yang terbabit.


"Kelengahan yang mereka hadapi bakal mengundang padah. Dalam Kesatuan Eropah, apabila kadar vaksinasi rendah di tahap 3%, desakan bertubi-tubi daripada rakyat telah cukup untuk mempercepat kadarnya kepada 17.8% dalam masa sebulan. Amerika Syarikat di bawah pentadbiran baru juga bertungkus-lumus mencari jalan meningkatkan kadar vaksinasi.


"Namun kerajaan PN di sini terlalu sibuk memikirkan cara untuk mengawal keseluruhan proses dari A sampai Z, sehingga mengakibatkan kelengahan yang tidak sepatutnya.


"Saya amat terganggu dengan sikap pihak atasan Kementerian yang ternyata begitu lembab," kata Anwar dalam kenyataan media, hari ini.


Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, terdapat kerajaan negeri yang cuba untuk memperolehi vaksin, misalnya Selangor tetapi terpaksa menunggu begitu lama untuk mendapatkan kelulusan


"Selangor menunggu berbulan lamanya untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan, meskipun mereka telah memperuntukkan dana sendiri untuk mendapatkan 2 juta dos buat rakyat Selangor.


"Kerajaan Sarawak turut menghadapi nasib sama dalam mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan. Saya turut mendapat aduan daripada beberapa syarikat swasta dan yayasan bahawa permintaan dan usaha mereka untuk mendapatkan vaksin tidak dihiraukan sama sekali.


"Juga turut dilaporkan bahawa vaksin Sinopharm dijangka tiba pada bulan Mei, namun sehingga bulan Mac kita masih belum pasti sama ada kelulusan telah diberikan, sekaligus menambah timbunan masalah yang menanti penyelesaian," katanya.


Kata Anwar, matlamat kerajaan pusat sayugianya adalah memastikan seluruh rakyat Malaysia memperolehi vaksin yang selamat dan berkesan dengan sesegera mungkin.


Menurutnya, terdapat kemungkinan kerajaan negeri memiliki jaringan dan kemampuan tersendiri untuk memperolehi vaksin dan mengatasi keupayaan kerajaan pusat. Juga terdapat syarikat-syarikat swasta yang bersedia membelanjakan sejumlah wang bagi memvaksinkan pekerja dan keluarga mereka, meskipun dengan harga yang mahal.


Begitu juga yayasan dan pertubuhan kebajikan, kata Anwar, yang bersedia menyokong usaha-usaha vaksinasi di kawasan setempat. Terdapat ratusan ribu, bahkan lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang sanggup membayar sejumlah wang agar dapat divaksin, sama ada di hospital swasta mahu pun klinik.


Bagi Pengerusi Pakatan Harapan itu, sekiranya pemain-pemain berkenaan diberikan galakan dan kelulusan yang diperlukan dengan kadar segera, bekalan terhad yang kini dimiliki kerajaan pusat boleh terus disalurkan kepada golongan miskin dan yang terpinggir serta mereka yang amat memerlukannya bagi memastikan akses yang pantas dan saksama kepada vaksin. Dengan itu, kadar vaksinasi boleh bertambah dua atau tiga kali ganda lebih pantas daripada kadar sekarang.


"Justeru, saya menuntut dua perkara. Pertamanya, kerajaan pusat mestilah bertindak pantas dan menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri dan sektor swasta untuk mendapatkan perolehan terhadap vaksin yang telah diluluskan demi meningkatkan kadar kesegeraan vaksinasi.


"Keduanya, saya menuntut satu siasatan bebas dilakukan di bawah lembayung Parlimen untuk mencari punca lembabnya kadar pemerolehan vaksin yang dialami oleh kerajaan pusat, Kerajaan Negeri dan sektor swasta," katanya lagi.





0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page