Kerajaan PN gagal tangani wabak Covid-19: Tekan PKS ‘bela’ kilang besar


Kerajaan Perikatan Nasional gagal total dalam menangani wabak Covid 19 dan masalah sampingan yang dibawa oleh pandemik berkenaan.


Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN G. Manivannan berkata, memburukkan lagi keadaan pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan PN pula tempang serta tidak mengambil konsultasi daripada pakar-pakar yang sesuai.


Jelasnya, meskipun kerajaan PN telah mengunakan kaedah atau pendekatan yang terbukti gagal pada 2020 namun mereka tetap juga meneruskan pendekatan sama pada 2021.


“Ini menunjukkan Kerajaan PN ketandusan idea baru dalam menangani Covid-19. Kelemahan Kerajaan PN terbukti apabila menekan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) manakala memberi kelonggaran kepada kilang-kilang besar (meneruskan operasi).


“Covid-19 adalah wabak yang mengorbankan nyawa, maka sebuah Kerajaan yang prihatin seharusnya mengambil tindakan yang agresif, pro aktif dan efisien secara menyeluruh. Namun, sehingga hari ini Kerajaan PN gagal membuat sedemikian,” katanya kepada Suara Keadilan.


Menyentuh mengenai bantuan kerajaan PN kepada rakyat ketika fasa pandemik pula Mannivanan berkata, bantuan yang disampaikan oleh kerajaan itu tidak menyeluruh serta tidak banyak memberi impak kepada rakyat bawahan.


“Bantuan kepada rakyat yang terjejas wajar dilakukan secara menyeluruh. Bantuan seperti moratorium dan bakul makanan, walaupun ada kebaikannya namun ianya tidak membantu golongan yang terjejas keseluruhan.


“Moratorium bukannya secara total, terkandung pelbagai syarat manakala bakul makanan diedarkan tanpa memperhalusi lokaliti yang terjejas dan lokaliti yang memerlukan bantuan secara mendesak,” tegasnya.


Beliau mengemukakan contoh, kerajaan PN mengumumkan peruntukan RM300,000 bagi program Bantuan Bakul Makanan untuk setiap kawasan Parlimen menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).


Namun, amaunnya sama sahaja untuk bandar dan luar bandar, sedangkan di luar bandar rakyat yang memerlukan bantuan lebih banyak.


“Setiap Ahli Parlimen mempunyai dana yang sama rata untuk membantu pengundi mereka yang memerlukan bantuan.


“Walaupun bantuan ini dihargai, namun ia seharusnya diperhalusi secara mendalam. Saya berpandangan bahawa, Parlimen di luar bandar seharusnya diberikan dana yang lebih besar daripada Parlimen di bandar.


"Hakikatnya, terdapat kawasan Parlimen yang memerlukan bantuan asas secara mendesak ketika ini dan ianya berbeza dengan kawasan-kawasan lain,” katanya.


Bagaimanapun katanya, kerajaan PN hanya mengambil pendekatan pendek dengan membekalkan sejumlah wang yang sama, dan mengharapkan Ahli-Ahli Parlimen untuk membantu rakyat yang terjejas.


“Sekali lagi, terbukti Kerajaan PN tidak mempunyai idea atau pendekatan atau kaedah untuk mengenalpasti lokaliti rakyat yang terjejas dan membantu mereka dengan segera,” katanya.

0 comments