Setelah beberapa bulan situasi pandemik Covid 19 memburuk dan kerajaan Perikatan Nasional kelihatan gagal mengawal keadaan, institusi Istana mula meminta pendapat para pemimpin selain pemerintah untuk memberi pandangan menyelesaikan isu semasa.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, perkembangan tersebut dilihat memberansangkan dan mungkin akan mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul, selepas tergelincir sejak Mac 2020 lalu.
"Hari ini, Rabu, 9 Jun 2021 merupakan hari yang penting. Institusi penting negara telah membuat keputusan memulakan musyawarah untuk meletakkan semula Malaysia di atas landasan yang betul. Surah Al Syura, ayat 38 menegaskan bahawa “sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka.”
"Kenapa ini berlaku? Tentunya bertitik tolak daripada #kerajaangagal. Tidak perlu saya huraikan secara rinci. Kita tentunya telah, sedang dan akan terus membaca pelbagai komen rakyat yang diluahkan melalui pelbagai saluran media baru. Suara rakyat suara keramat !
"Pada saya mudah, kalau kenaikan harga minyak masak yang sangat membebankan boleh dianggap munasabah oleh salah seorang menteri kabinet, apa lagi harapan kita kepada kerajaan hari ini?" katanya dalam catatan di Facebook, mengiringi keberangkatan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, pagi ini.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga mengharapkan Agong akan mengambil keputusan positif selepas bertemu ketua-ketua parti politik tanah air yang dijadualkan berlangsung sepanjang hari ini dan esok.
"Saya percaya keputusan untuk bertindak selepas dua hari rakyat Malaysia menyambut Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tentunya mempunyai mesej yang jelas, dan diharap akan menghasilkan keputusan yang positif," katanya lagi.
Shamsul turut menggambarkan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong akan nasib rakyat dengan serangkap pantun:
'Ke Gunung Tahan mencari herba
Di Kuala Tahan menangkap ikan
Jangan dibiar rakyat derita
Ini masanya berubah haluan'
I am not quite confident of that happening unless we are told of the purpose of the YDPA meeting the PM first