Kerajaan PM Anwar Tidak Gagal: Tawarkan Penyelesaian Masalah Rakyat
- Suara Keadilan
- Aug 2
- 4 min read
Updated: Aug 4

Oleh: Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif
ULASAN: Sebagai seorang rakyat bawahan yang bekerja di pejabat untuk menyara keluarga, saya terpanggil untuk memberikan pandangan orang bawahan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan telah gagal dan dikatakan membawa negara ke arah keadaan yang lebih teruk.
Dakwaan ini, saya yakin walaupun berbaur emosi dan penuh persepsi, harus diteliti dengan adil dan berasaskan fakta. Kita tidak boleh terus-terusan menuduh tanpa melihat usaha dan pencapaian yang telah dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada akhir tahun 2022.
Sebagai rakyat biasa, saya menyedari memang bukan semua masalah dapat diselesaikan dalam sekelip mata. Namun, ini tidak bererti kerajaan hari ini gagal. Sebenarnya, banyak perkara yang telah diperbaiki dan dimulakan demi menjamin masa depan negara yang lebih stabil dan sejahtera.
1. Ekonomi negara semakin pulih
Antara dakwaan utama terhadap kerajaan adalah kegagalan menguruskan ekonomi. Namun, fakta yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan menunjukkan sebaliknya.
Menurut laporan ekonomi suku pertama 2024 oleh BNM, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.2%, berbanding 3.7% pada suku sebelumnya. Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan dalam sektor eksport, pelaburan swasta dan penggunaan domestik. Sumber ini saya perolehi dari BNM Quarterly Bulletin Q1 2024.
Selain itu, kadar inflasi negara terus menurun kepada 1.8% pada Mei 2024, berbanding lebih 4% semasa pasca pandemik. Ini menunjukkan usaha kerajaan mengawal harga barangan keperluan mula menunjukkan hasil.
2. Isu kos sara hidup: Langkah bukan retorik
Ya, saya sendiri merasai tekanan kos sara hidup, namun saya juga sedar kerajaan tidak berpeluk tubuh. Beberapa inisiatif telah dilaksanakan:
• Menu Rahmah — membolehkan rakyat marhaen menikmati makanan tengah hari dan malam dengan harga RM5 ke bawah. Sejak dilancarkan, lebih 20,000 premis makanan telah menyertainya. Sumber ini saya dapati dari laman sesawang KPDN.
• Subsidi bersasar — kerajaan memperkenalkan sistem subsidi yang lebih adil, memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, seperti melalui Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang memberi bantuan tunai langsung kepada keluarga B40 dan M40.
• Kawal harga ayam dan telur — sepanjang tahun 2023, kerajaan menanggung subsidi melebihi RM3.8 bilion untuk mengawal harga makanan asas. Kini selepas bekalan stabil, kawalan harga secara berperingkat ditarik balik untuk memulihkan mekanisme pasaran. Sumber boleh diperolehi MOF Malaysia.
Langkah-langkah ini adalah bukti bahawa kerajaan bukan sekadar bercakap kosong, sebaliknya mencari solusi secara berstruktur dan berfasa. Jika ikutkan hati, sekarang juga saya mahukan semua harga barang turun dan saya dapat membeli lebih banyak barang untuk keluarga apabila berbelanja.
3. Cukai SST: Untuk kelestarian negara, bukan tekan rakyat
Isu peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 8% juga sering digunakan untuk menyerang kerajaan. Apa yang tidak disebut oleh para pengkritik ialah, SST tidak dikenakan ke atas makanan asas, pengangkutan, pendidikan dan kesihatan. Malah, menurut Kementerian Kewangan, langkah ini dijangka meningkatkan hasil negara tanpa membebankan rakyat marhaen.
Perlu diingat, hasil negara sangat penting untuk membiayai pelbagai subsidi, pendidikan percuma, penjagaan kesihatan dan pembangunan luar bandar. Tanpa kutipan cukai yang mencukupi, kerajaan terpaksa berhutang lebih banyak — dan inilah yang membawa kepada krisis kewangan seperti yang berlaku di negara-negara jiran. Sumber untuk cukai ini saya rujuk Laporan Belanjawan 2024.
4. Pelaburan asing terus meningkat
Jika benar kerajaan ini gagal, mengapa pelabur asing masih meyakini Malaysia?
Menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia berjaya menarik pelaburan bernilai RM329.5 bilion pada tahun 2023, meningkat berbanding RM264 bilion pada 2022. Antara pelabur besar termasuk Tesla, Amazon Web Services dan Infineon.
Kehadiran syarikat-syarikat besar ini memberi peluang pekerjaan baharu dan merangsang ekonomi tempatan, sesuatu yang tidak mungkin berlaku jika pentadbiran negara kucar-kacir.
5. Reformasi institusi berjalan lancar
Sebagai rakyat biasa, saya turut perasan bagaimana kerajaan hari ini berusaha memulihkan integriti institusi negara:
• Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan lebih kebebasan menyiasat sesiapa sahaja — tidak kira tokoh politik kerajaan mahupun pembangkang.
• Akta Pendanaan Politik dirangka bagi mengelakkan penyalahgunaan dana dalam pilihan raya. Ia merupakan satu reformasi penting yang berpotensi mengubah landskap politik negara. Setelah beberapa tahun organisasi masyarakat sivil mendesak pelaksanaan suatu pengawalseliaan pendanaan politik, akhirnya Malaysia kini berada di persimpangan penting yang berpotensi mengukuhkan demokrasi dan politik negara. Dengan menetapkan peraturan yang jelas tentang sumber dan penggunaan dana politik, akta ini akan mendatangkan pelbagai manfaat kepada parti politik dan masyarakat secara keseluruhan.
• Pindaan Perlembagaan dan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Dimana parlimen selepas ini mempunyai autonomi lebih luas dalam menjalankan fungsinya sebagai badan perundangan utama tanpa pengaruh berlebihan badan eksekutif.
Ini adalah petanda bahawa kerajaan hari ini serius dalam membawa perubahan dan ketelusan dalam pentadbiran. Ia sesuatu yang besar dan memerlukan iltizam politik yang bukan kecil menjayakannya.
6. Perdana Menteri kerja tanpa henti
Sebagai rakyat bawahan, saya melihat kesungguhan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjalankan tugasnya. Setiap minggu, beliau turun padang, melawat kampung, berbincang dengan golongan usahawan kecil, petani, pelajar dan belia. Dalam masa yang sama, beliau juga mewakili negara di pentas antarabangsa seperti Sidang Kemuncak ASEAN, Forum Ekonomi Dunia di Davos dan lawatan rasmi ke negara-negara rakan dagang utama.
Ini bukan Perdana Menteri yang hanya tahu berucap. Ini pemimpin yang berusaha memperbaiki kesan legasi rosak yang ditinggalkan oleh kerajaan-kerajaan sebelumnya. Jika kita jujur, kita akan mengakui bahawa banyak kerosakan dasar, ketirisan dan hutang negara berpunca dari masa lampau, bukannya muncul dalam tempoh satu atau dua tahun ini sahaja.
Realiti tidak boleh disembunyikan dengan jeritan
Sebagai rakyat marhaen, saya tidak buta dan saya juga tidak dibayar untuk menulis ini. Saya hanya mahu berkongsi sudut pandang rakyat kecil, yang juga ada hati Nurani dalam menilai kaca dan permata.
Demonstrasi dan jeritan di jalan raya tidak boleh menjadi ukuran kejayaan atau kegagalan sesebuah kerajaan. Kita harus menilai berdasarkan angka, dasar dan tindakan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Adakah semua sudah sempurna? Belum. Tapi untuk mengatakan kerajaan ini gagal adalah tidak adil dan bersifat manipulatif.
Kerajaan hari ini, pada saya, sedang membina semula negara, batu demi batu, langkah demi langkah, dasar demi dasar. Kita sebagai rakyat juga perlu memberi peluang dan masa, bukannya membakar harapan dengan kata-kata murka, seolah-olah berada dibawah pemerintahan kuku besi yang zalim. Kita lihatlah kerja buat Kerajaan Anwar Ibrahim dalam lima tahun ini, jika dia gagal PRU16 nanti kita buat keputusan baru.
Jika benar kita cintakan negara, kita tidak hanya tahu memprotes tetapi juga menyumbang, memahami dan menilai secara objektif mengikut ruang waktu yang ditetapkan. Pada saya, suara rakyat yang sebenar adalah suara rakyat yang disampaikan dari akal fikir yang sederhana dengan harapan yang sederhana juga.
Penulis merupakan anak jati Dungun, Terengganu, negeri pembangkang yang diperintah Pas.
Comments