Kerajaan peruntukan RM350 juta selenggara jalan Semenanjung
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI memperuntukkan RM350 juta bagi melaksanakan 563 projek penyelenggaraan jalan Persekutuan di seluruh Semenanjung Malaysia pada tahun ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peruntukan tersebut merangkumi RM275 juta adalah untuk 245 kerja penyelenggaraan bagi laluan berturap manakala RM75 juta diperuntukkan untuk 318 kerja penyelenggaraan laluan tidak berturap di jalan-jalan persekutuan.
"Zon Timur Tengah bakal melaksanakan sebanyak 301 kerja penyenggaraan melibatkan kedua-dua jenis laluan manakala bagi Zon Selatan 99 kerja dan Zon Utara 163 jumlah kerja.
"Kerja-kerja penyenggaraan jalan termasuk pembinaan semula jalan, mengecat semula garisan jalan, membaik pulih papan tanda, pembinaan roadkerb, menaik taraf longkang serta kerja-kerja berkaitan," katanya dipetik.
Ahmad Maslan berkata begitu pada Majlis Tawaran Cabutan Kerja Undi di bawah Program Mempercepat Penyenggaraan Jalan dengan Memanfaatkan Kontraktor Gred G1 hingga G4 di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi pada Selasa.
Sementara itu sebagai mengulas proses cabutan undi itu beliau memaklumkan, ia dijalankan secara serentak hampir di seluruh negeri Semenanjung Malaysia kecuali Zon Utara yang akan diadakan pada 5 dan 6 Jun hadapan.
Pelaksanaan cabutan undi membabitkan kontraktor yang dianggap berkeupayaan itu bukan sahaja membantu mempercepatkan proses tetapi juga dapat memastikan kesemua kontraktor mendapat peluang sama rata.
"Kita telah menyenarai pendek senarai kontraktor yang kita anggap berkeupayaan. Bagi memastikan pemilihan adil, kontraktor yang telah dapat pada tahun lepas secara automatik tidak layak untuk diundi pada tahun ini.
"Jadi, mereka (kontraktor) yang dapat ini adalah yang kita yakin mereka boleh melaksanakan tugas yang diberikan," tambahnya sambil menyatakan bahawa semua kerja penyelenggaraan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan.
Comments