Kerajaan peruntuk RM2.7 bilion perkukuh aset APMM - Saifuddin


Kerajaan memperuntukkan RM2.7 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2027 untuk memperkukuh keupayaan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) termasuk perolehan empat helikopter baharu AW189 bagi meningkatkan keupayaan operasi agensi itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan memastikan APMM mempunyai aset udara, laut dan darat yang mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan perairan negara.
"Untuk memperkuatkan aset jumlahnya RM2.7 bilion. Untuk tahun depan, RM1.088 bilion.
"...antaranya akan dapat aset AW189, empat unit helikopter baharu," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya semalam.
Helikopter AW189 pertama diterima pada 13 Ogos lalu bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, pengawasan, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) serta operasi khas.
Saifuddin berkata keperluan memperkukuh aset APMM perlu dilihat berdasarkan keluasan kawasan maritim yang menjadi tanggungjawab agensi itu serta pelbagai ancaman yang perlu ditangani.
Menurutnya APMM mengawal hampir 600,000 kilometer persegi kawasan perairan negara termasuk berdepan kegiatan nelayan asing, penyeludupan manusia, dadah dan senjata api serta pencerobohan kapal asing.
"Belum lagi kapal negara asing menceroboh kawasan kita. Jadi, bila kita adakan perhimpunan bulanan, sekitar 15 minit, betul-betul dimanfaatkan untuk beritahu satu mesej kepada kita bahawa agensi ini munasabahlah untuk kerajaan dokong,” katanya.
Beliau berkata penggunaan aset udara yang sudah berusia boleh menjejaskan peluang APMM melaksanakan tugas dengan berkesan terutama dalam operasi mencari dan menyelamat.
"Alhamdulillah, saya bangga sebab perolehan itu dapat kita sempurnakan dengan elok. Saya tahu ia memberi dorongan semangat kuat kepada APMM," katanya.
Perkukuh keupayaan maritim
Selain aset udara, beliau berkata kerajaan turut memperkukuh keupayaan maritim menerusi perolehan dua kapal misi pelbagai guna (MPMS) sepanjang 99 meter yang dilancarkan di Istanbul, Turkiye pada bulan ini.
Saifuddin berkata kapal pertama itu disiapkan dalam tempoh 22 bulan, lebih awal daripada jadual asal 24 bulan manakala pembinaan kapal kedua turut menunjukkan kemajuan lebih awal daripada perancangan.
Menurut beliau tempoh pembinaan kapal kedua berkenaan berpotensi dipendekkan kepada 18 hingga 20 bulan.
Beliau berkata perolehan dua kapal itu melibatkan nilai kira-kira RM900 juta dan menjadi antara usaha kerajaan menyediakan aset baharu bagi menyokong operasi APMM.
Kapal pertama dijangka belayar pulang ke Malaysia pada Februari tahun depan selepas perjalanan kira-kira 35 hari sebelum dibawa ke Kedah bagi menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027,” acara yang dijadual pada April.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata kerajaan turut berusaha menyelesaikan projek kapal peronda luar pesisir (OPV) yang sebelum ini berdepan masalah pelaksanaan.
Beliau berkata sebuah kapal, KM Fatimah, berjaya disiapkan selepas kerajaan menyediakan peruntukan RM150 juta manakala dua kontrak lain ditamatkan secara bersama sebelum proses perolehan baharu dilaksanakan.
"Kita nak siapkan juga dua unit kerana duit dah ratusan juta habis. Tak boleh projek itu terbengkalai separuh jalan," katanya.
Saifuddin menegaskan kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada APMM melalui peruntukan dan perolehan aset yang diperlukan bagi memastikan agensi itu mampu melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.
"Kita peruntukkan dana yang cukup munasabah untuk memastikan aset udara, aset laut dan aset darat, sekalipun dalam bentuk radar dan sebagainya, diurus supaya APMM tahu dalam menjalankan tugas besar kerajaan memberikan dokongan kuat kepada agensi ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, APMM memaklumkan pesawat amfibia Bombardier CL-415MP mencatatkan pencapaian membanggakan apabila merekodkan 10,000 jam penerbangan sejak mula berkhidmat pada 23 Januari 2009.
Pencapaian pesawat bernombor pendaftaran M71-01 (MSN 2068) itu mendapat pengiktirafan daripada De Havilland dan menjadi antara sorotan Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri pada hari ini.
"Pesawat yang dikendalikan oleh Skuadron Amphibious, Stesen Udara Maritim Subang itu menyokong misi pengawasan maritim, SAR, pemadaman kebakaran dari udara serta bantuan kemanusiaan," kata Saifuddin.
APMM memaklumkan antara operasi berprofil tinggi yang pernah disertainya ialah Operasi Daulat di Lahad Datu pada 2013, pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 dan kapal tangki Orkim Harmony serta misi pemadaman kebakaran dan bantuan kemanusiaan di Sumatera Selatan, Indonesia pada 2015.




Comments