CSA MP beri ruang kerajaan pacu ekonomi, laksana reformasi - BBC


Pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan MADANI dengan 13 Ahli Parlimen (MP) memberi ruang kepada pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan agenda pembangunan ekonomi, pelaksanaan belanjawan dan reformasi institusi sehingga tamat penggal Parlimen.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata kesepakatan itu turut memperkukuh kestabilan politik serta memberikan kepastian dasar yang penting dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
"Dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar, kestabilan politik dan kepastian dasar merupakan antara asas penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur serta menjamin kesejahteraan rakyat.
"Lebih menarik, ketika masih terdapat pihak yang ghairah dengan percaturan untuk menggugat kerajaan, perkembangan hari ini membuktikan bahawa perbezaan politik tidak semestinya menghalang kerjasama demi kepentingan negara," kata beliau dalam kenyataan.

Semalam Kerajaan MADANI memeterai CSA dengan 13 Ahli Parlimen pembangkang membabitkan enam wakil rakyat Bersatu, seorang Ahli Parlimen MUDA dan enam Ahli Parlimen Bebas.
Perjanjian itu ditandatangani Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama lima lagi Ahli Parlimen parti itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta enam wakil rakyat Bebas.
Menerusi perjanjian berkenaan, kesemua 13 Ahli Parlimen itu memberikan komitmen menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar sehingga tamat penggal Parlimen semasa termasuk kelulusan Belanjawan 2027.
Bagaimanapun mereka kekal berperanan sebagai pembangkang dalam memastikan berlakunya proses semak dan imbang.
Dalam persefahaman itu, Ahli Parlimen terbabit turut mengemukakan tuntutan kerajaan melaksanakan reformasi institusi, termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta mengasingkan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya sebelum tamat penggal pentadbiran.
Perjanjian itu dimeterai ketika timbul spekulasi mengenai kemungkinan usaha sebahagian Ahli Parlimen Kerajaan Perpuduan berniat menggagalkan kelulusan Belanjawan 2027 di Parlimen yang boleh mencetuskan krisis keyakinan terhadap kerajaan sekali gus membuka ruang diadakan Pilihan Raya Umum lebih awal.
Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, kesepakatan itu membolehkan semua Ahli Parlimen memberikan tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing termasuk memastikan dasar dan peruntukan yang diluluskan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat.
"Kestabilan politik bukan sekadar soal siapa yang memerintah tetapi sejauh mana negara dapat terus melangkah ke hadapan tanpa kemajuan ekonominya terjejas akibat percaturan kuasa," katanya.




Comments