ADUN Batu Uban salur 150 baucar Deepavali, RM15,000 untuk projek kuil


Seramai 150 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban menerima baucar membeli-belah Deepavali bernilai RM100 setiap seorang menerusi inisiatif tahunan bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga menjelang perayaan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan berkata, program sumbangan baru baru ini bertujuan membantu keluarga membuat persiapan menyambut perayaan Deepavali, selain memastikan kebajikan masyarakat setempat terus diberi perhatian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, yang menyumbangkan 50 daripada keseluruhan 150 baucar berkenaan.
"Program tahun ini diadakan di Sri Krishna Bhagwan Alayam, Sungai Dua," katanya dalam muat naik di media sosial.

Pada majlis sama, Kumaresan turut menyampaikan peruntukan RM15,000 bagi membantu projek pembinaan tempat perlindungan berbumbung di bahagian luar kuil berkenaan.
Menurutnya, projek itu dianggarkan menelan kos keseluruhan RM100,000, manakala pihak kuil akan mengumpulkan baki dana yang diperlukan.
Katanya, kemudahan itu apabila siap kelak akan menyediakan ruang lebih selesa kepada penganut untuk mengadakan upacara sembahyang khas, majlis pertunangan dan perkahwinan.
"Apabila siap, tempat kemudahan berbumbung itu akan menyediakan ruang kepada penganut untuk menganjurkan pelbagai acara keagamaan dan majlis kekeluargaan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut membantu pengurusan kuil dalam urusan mengemukakan pelan bagi projek berkenaan, dengan khidmat profesional daripada East Design Architect Sdn. Bhd. disediakan secara percuma.
Kumaresan yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN turut menghargai sokongan dan bantuan Datuk Seri Ar. EF Jong serta Ar. Ezrin dalam menjayakan usaha berkenaan.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada seluruh masyarakat Hindu yang meraikannya, sambil berharap perayaan Pesta Cahaya itu membawa kekuatan, kemakmuran dan kebahagiaan kepada setiap keluarga.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus membina Pulau Pinang yang menghormati kepelbagaian masyarakat, menyediakan peluang kemajuan kepada setiap keluarga dan memastikan tiada golongan terpinggir.




Comments