Kerajaan peruntuk RM15.9 juta bagi mekanisasi, automasi agromakanan
- Suara Keadilan
- Jun 4
- 1 min read

Kerajaan MADANI terus memperkukuh sektor pertanian negara apabila memperuntukkan RM15.9 juta di bawah Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan bagi tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, peruntukan itu bertujuan membangunkan infrastruktur ladang serta memperluas penggunaan teknologi moden dalam kalangan petani dan peladang di seluruh negara.
"Peruntukan besar ini membuktikan komitmen kerajaan untuk membawa transformasi teknologi ke lapangan pertanian secara menyeluruh.
"Kerajaan mengambil tindakan konkrit supaya petani benar-benar merasai manfaat teknologi, bukan sekadar retorik dasar," katanya dipetik.
Mengulas lanjut beliau menjelaskan, daripada keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM11 juta digunakan bagi perolehan jentera, mesin serta sistem pertanian manakala RM2.6 juta lagi untuk pembangunan ladang, bangunan dan kemudahan.
Sementara bakinya diperuntukkan bagi pembekalan alat ganti jentera, mekanisasi serta automasi pertanian dan sebagainya.
Terdahulu, Arthur hadir ke Majlis Penyerahan Jentera dan Peralatan Pertanian Peringkat Negeri Perak 2025 di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di Bagai Serai pada Selasa.
Sempena majlis itu seramai 185 petani dari 20 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) menerima pelbagai bantuan jentera kecil dan sederhana bernilai lebih RM643,000 secara geran padanan.
"Ini antara usaha berterusan kerajaan melalui KPKM dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam memperkasakan pemain industri agro, seterusnya memperkukuh keterjaminan makanan negara," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan Arthur turut memaklumkan, Kerajaan juga memperuntukkan RM7 juta bagi projek naik taraf kemudahan infra bagi meminimumkan kesan kemarau di beberapa kawasan utama pengeluaran padi di seluruh Malaysia.
Tumpuan jelasnya akan terarah kepada sistem pengairan yang menjadi sumber utama kepada tanaman berkenaan.
Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) sebelum ini menjangkakan, fenomena Monsun Barat Daya (MBD) yang membawa cuaca lebih kering, litupan awan yang kurang dan taburan hujan yang rendah akan berlarutan sehingga pertengahan September ini.
Comments