Kerajaan pertimbang beri kad fleet kepada pengusaha jentera padi - Kamil Munim
- Suara Keadilan
- 10 hours ago
- 2 min read

Kerajaan sedang mempertimbang peluasan kaedah penyasaran subsidi diesel termasuk penggunaan kad armada (fleet card) bagi memudahkan pengusaha jentera padi mendapatkan bekalan bahan api pada kadar subsidi.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Abdul Munim berkata langkah itu bagi membantu pesawah dan pengusaha jentera padi yang terkesan susulan peningkatan kos input pertanian akibat lonjakan harga bahan api global.
"Sekarang kita cuba meneroka peluasan pelaksanaan diesel melalui kaedah sama seperti dilaksanakan bagi Budi Madani RON95(Budi95).
"Ini semua dalam kajian termasuk keluhan golongan petani yang ada sebahagiannya tidak didaftar kepada skim yang ada sekarang dan mereka ini terkesan," katanya selepas majlis Rumah Terbuka Perpaduan Raya Segayong di Gurun Jaya, Sungai Petani malam tadi, lapor Berita Harian.
Menurut Kamil, penelitian sedang dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan setiap bantuan yang dirangka benar-benar berkesan dan sampai kepada golongan sasar.
"Jadi kerajaan sedang meneliti secara komprehensif keseluruhan perkara ini supaya tidak ada mana-mana pihak yang tertinggal apabila pelarasan kita kata kajian semula ini dilakukan," katanya.
Katanya, cadangan yang diterima itu dikemukakan oleh pesawah sendiri termasuk berkaitan kad armada diberikan kepada pengusaha-pengusaha jentera sawah padi.
Usaha itu turut mengambil kira keluhan petani yang masih belum berdaftar dalam skim sedia ada dan berdepan tekanan kos yang semakin meningkat, ujarnya.
Beliau turut menegaskan setiap mekanisme yang dipertimbangkan perlu mesra pengguna, khususnya kepada golongan sasar serta mampu mengurangkan ketirisan.
Kejayaan pelaksanaan program Budi Madani sebelum ini yang menunjukkan kadar masalah minimum menjadi asas keyakinan terhadap pendekatan tersebut, katanya.
"Seperti yang kita lihat dalam program Budi Madani sebelum ini, masalah yang timbul sangat minimum dan ia membuktikan kaedah penyasaran subsidi melalui pendekatan itu berjaya," katanya.
Berkaitan kenaikan harga tiket feri ke Langkawi sebanyak RM10 kepada warga asing, beliau menjelaskan buat masa ini perkara itu tidak memberi kesan besar kerana keutamaan masih diberikan kepada rakyat tempatan.
Namun ujarnya perkara itu akan terus dipantau dan dinilai sekiranya memberi impak ketara kepada sektor pengangkutan dan pelancongan.
