top of page

Kerajaan pertimbang bantu penduduk terlibat perobohan rumah di Klang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Jemaah Menteri kini sedang meneliti beberapa perkara berkaitan operasi pengosongan dan perobohan rumah di Kampung Papan, Pandamaran, Klang, Selangor.


Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil (gambar), berkata isu itu melibatkan tanah di peringkat negeri dan kerajaan kini meneliti beberapa perkara termasuk kemungkinan langkah untuk membantu menyelesaikannya.


"Nanti akan dibincangkan dengan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari).


"Kami difahamkan tanah tersebut adalah hak milik persendirian.


"Dalam kalangan menteri juga memang ada yang meminta agar perkara tersebut diuruskan dengan tertib supaya tidak menjadi isu," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.


Fahmi ditanya pemberita tentang isu perobohan rumah di kampung berkenaan.


Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 20 rumah di kampung tersebut terbabit dalam kerja pengosongan yang dijalankan sejak 10 November lalu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh pemaju.


Bagaimanapun, proses pengosongan rumah penduduk itu kecoh apabila beberapa wakil NGO dan penduduk membantah dan menghalang kerja perobohan.


Penduduk sebelum ini mendakwa, arahan dikeluarkan hanya membenarkan rumah kosong dirobohkan, namun pihak terbabit bertindak melangkaui arahan itu dengan merobohkan rumah yang masih berpenghuni.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page