Kerajaan Perpaduan: Raja Melayu perkenan, majoriti mencukupi, suhu politik perlu diredakan - Anwar
- Suara Keadilan
- Dec 11, 2022
- 2 min read

Tindakan pembangkang Perikatan Nasional mempertikaikan penubuhan Kerajaan Perpaduan tidak wajar diteruskan sehingga berminggu minggu lamanya selepas pilihanraya.
Hal itu diungkapkan dalam syarahan pertama Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui tokoh tokoh agama di Mahabbah YAB PM bersama Ulama dan Asatizah di Putrajaya, petang tadi.
Menurut Anwar, pertikaian politik perlu ada batasnya dan suhu kepanasan politik dalam kalangan rakyat harus diredakan untuk kerajaan menumpukan tanggungjawab pemerintahan.
"Kerajaan ini digelar Kerajaan Perpaduan walau ada yang mempertikaikan. Sebab itu saya telah mengambil keputusan untuk kerajaan membawa usul Undi Percaya kepada PM yang baru.
"Dari segi undang undang tidak diperlukan, pendapat Peguam Negara juga tak perlu sebab majoritinya jelas dan mandat, kuasa (melantik PM) Yang di-Pertuan Agong itu jelas.
"(Namun) Duli Yang Maha Mulia mengambil langkah yang lebih, iaitu mengundang Raja raja Melayu (ke Istana Negara) supaya ada kata sepakat calon PM yang mereka usulkan.
"Agong ambil pendekatan ikut Perlembagaan walau dipertikai sesetengah tokoh Melayu dan Islam (dalam PN). Penjelasan Yang di-Pertuan Agong kepada saya dan beberapa Raja Melayu yang sempat saya menghadap, Sultan Johor, Perak, Kelantan dan Selangor menyatakan dari awal mereka tidak pertikaikan parti yang memperolehi kerusi terbesar dan mendapat keutamaan. Pada masa itu yang terbesar ialah PH (82 kerusi) dan ikuti PN (74)," katanya.
Kemudian tegas Anwar, keputusan dibuat setelah sokongan yang lengkap terkumpul dan memihak kepada dirinya sebagai Perdana Menteri.
Memang pada waktu sebelum itu, katanya, sokongan pergi kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin dari PN dengan cara mendapatkan 10 Ahli Parlimen Umno.
Bagaimanapun katanya, kesemua Ahli Parlimen tersebut telah menarik balik sokongan sebelum jam 2 petang hari Rabu sebagaimana yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai tempoh akhir menzahirkan jumlah sokongan kepada Baginda.
"Saya sebutkan ini kerana semalam saya menghadap Yang di-Pertuan Agong (diminta) supaya Perdana Menteri jelaskan agar tidak timbul kekeliruan terutama yang menyinggung kedudukan Raja raja Melayu.
"Kita boleh berbeza pendapat tetapi kita tidak boleh melanggar prinsip akhlak dan adab dan dalam kita menghormati kemuliaan raja raja kerana raja raja itu mewakili satu institusi.
"Dalam keadaan tidak menentu baru baru ini, peranan raja raja itu perlu dalam menyelamatkan keadaan. Dan keputusan mereka saya lihat tidak pernah mengenepikan Perlembagaan, soal kepentingan majoriti orang Melayu dan kedudukan Islam. Tidak ada Raja raja Melayu yang mengenepikan soal ini. Kedudukan Raja Melayu itu juga mengawal hal sedemikian," katanya.
Justeru, Anwar berpendapat kemuliaan Raja Melayu perlu terus dipertahankan.
Selain itu, katanya, perkenan Agong juga penting untuk memudahkan perjalanan kerajaan terutama dalam keadaan negara yang kurang baik dari segi ekonomi seperti sekarang.
"Akhirnya dalam sistem ini perkenan Agong itu penting.
"Saya tidak boleh umumkan Jemaah Menteri walaupun Perlembagaan mengkehendaki untuk Agong menerima saranan PM. Tetapi Agong boleh melengahkan. Dia tidak mahu angkat sumpah esok, tangguh sebulan atau 3 bulan. Ini menimbul ketegangan politik dan (memburukan) tatakelola negara.
"Saya memilih untuk menjelaskan di sini kerana asas negara kita, terutama dukungan orang Melayu dan umat Islam sangat penting. Sebab itu saya memilih dari sudut hujah yang lebih jelas," katanya lagi.
コメント