Setahun setelah Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, perikatan parti parti politik dalam gabungan tersebut semakin mantap dan hampir mustahil boleh digoyahkan.
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata demikian dalam ucapan pidato Presiden di Konvensyen Nasional parti Amanah Negara yang diadakan di dewan Wyndham Acmar, Klang, hari ini.
Katanya, peluang terakhir Perikatan Nasional boleh menggugat Kerajaan Perpaduan adalah melalui Pilihan Raya Negeri pada Ogos lalu.
Selepas kedudukan kekal dengan 3 negeri dikuasai blok Perpaduan dan 3 lagi PN maka tiada pilihanraya besar yang boleh dijadikan modal untuk mengalih sokongan Ahli Parlimen Perpaduan.
"Dijangkakan, tidak ada lagi pilihan raya negeri yang boleh digunakan pihak Pembangkang untuk menggugat ketenteraman negara atau kononnya untuk melakukan 'Referendum' kepada Kerajaan PMX.
"Terawal adalah Disember 2025 untuk negeri Sabah, dan sehingga Februari, 2027 di Melaka dan April, 2027 di Sarawak.
"Mungkin sahaja boleh berlaku pilihan raya kecil, akibat kematian penyandang, di peringkat parlimen mahupun negeri
atau dibatalkan kemenangan oleh SPR seumpama di Kuala Terengganu dan Kemaman, yang di menangi Pembangkang.
"Sebaliknya, akibat kematian almarhum Datuk Seri Salahudin Ayub, Amanah mewakili Kerajaan Perpaduan, menang di DUN Simpang Jeram dan parlimen Pulai," katanya.
Tegas Mohamad, ulang tahun pertama Kerajaan Perpaduan menyaksikan samada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional juga GPS, GRS serta Warisan di Borneo semakin padu dan erat.
Semua itu, katanya, mengizinkan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet Perpaduan, menumpukan hal urusan pemulihan dan pembangunan negara.
Sebaliknya, kata beliau, Ahli Parlimen pembangkang pula yang menyeberang menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Cakap-cakap kononnya ada Ahli-ahli Parlimen Kerajaan akan 'menyeberang', berakhir dengan pembangkang sendiri ditempelak dengan lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri ke-10, tanpa 'menyeberang' parti. Semoga lebih ramai yang bakal berbuat sedemikian.
"Mengungkap kata-kata PMX dalam Perayaan Satu Tahun Kejayaan Kerajaan Perpaduan baru-baru ini, "Pembentukan Kerajaan Perpaduan dilihat berhasil dan sudah berupaya membina 'bumbung yang konkrit' daripada sebarang cubaan 'tebuk atap' selepas setahun pentadbiran".
"Perdana Menteri juga mendedahkan, tiada sekalipun pertelagahan akibat perbezaan parti dalam kerajaan Persekutuan walaupun pentadbiran diketuainya dibentuk dengan gabungan 18 parti politik," kata Mohamad lagi.
Kommentare