Perisytiharan Pulau Pinang sebagai zon bencana demam babi Afrika (ASF) tidak wajar membuat rakyat panik kerana penyakit berkenaan tidak menjangkiti manusia.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, sebaliknya dengan perisytiharan itu seharusnya pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengambil langkah segera bagi membendung penyakit berkenaan daripada menjangkiti ternakan yang sihat.
"ASF telah menjejaskan 7 ladang di Pulau Pinang. Saya bersimpati dengan nasib penternak babi Pulau Pinang. Semua kerja keras mereka hilang.
"Saya berharap DVS dan semua pihak berkuasa yang berkaitan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut dan menggalakkan para petani bangkit semula secepat mungkin.
"Bagi pengguna, jangan risau. Demam babi Afrika bukan zoonosis (menjangkiti manusia). Ia tidak akan menjejaskan kesihatan manusia. Babi yang terjejas juga akan dimusnahkan dan tidak akan memasuki pasaran," katanya dalam satu kenyataan.
Mantan Timbalan Menteri Pertanian itu juga berkata, penyakit tersebut bukanlah baharu dan telah menjangkiti ternakan di Malaysia sejak beberapa tahun lalu.
Beliau juga, katanya, ketika masih di Kementerian Pertanian telah berusaha untuk mencegah penyakit berkenaan sekiranya merebak pada masa hadapan.
"Semasa saya berada di Kementerian Pertanian, saya memberi perhatian khusus kepada kemungkinan penyebaran ASF. Kami melakukan simulasi dan meningkatkan biosekuriti. Gambar itu diambil bersama bekas Ketua Pengarah DVS Datuk Quaza yang memainkan peranan penting dalam mewujudkan rancangan komprehensif untuk memerangi ASF.
"Kami berjaya menangguhkan penyebaran ke Malaysia, tetapi kami tidak dapat menghentikannya sepenuhnya. ASF merebak ke Malaysia pada tahun 2021," katanya lagi.
Untuk rekod pada 2021 Malaysia diperintah oleh kerajaan PN dan Perdana Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Comments