Kerajaan perlu melabur banyak, tambah baik bidang kesihatan negara
- Omar Zin
- Oct 13, 2021
- 1 min read

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyifatkan kerajaan perlu membuat pelaburan besar dalam bidang kesihatan bagi menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia di masa akan datang.
Beliau menganggap pelaburan terhadap pembangunan vaksin dengan melancarkan Institut Genom dan Vaksin Negara amat penting supaya rakyat mempunyai bekalan ubat yang mencukupi.
"Pandemik Covid-19 mengingatkan kita tentang kewajipan melabur secukupnya dalam bidang kesihatan, dengan kesan berganda kepada pembangunan industri yang menambah baik tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
"Pelancaran Institut Genom dan Vaksin Negara menanggung beban yang besar, merentasi tiga kementerian dengan objektif strategik yang melangkaui pembangunan vaksin Covid-19.
"Kita menjadi saksi kepada pembolotan vaksin oleh negara-negara maju dan mendorong kepada usaha kita bagi menjamin kedaulatan vaksin demi keperluan negara termasuklah tanggungjawab bersama membantu negara-negara yang lebih memerlukan daripada kita," katanya.
Oleh itu, Nurul Izzah berpendapat, kerajaan hendaklah memberi dokongan kepada seluruh rantaian ekosistem kesihatan.
"Supaya bidang pembangunan vaksin dan penyakit zoonotik lainnya dapat berdiri teguh dan menjamin sumber pendapatan dan pekerjaan dalam jangka masa yang lebih panjang.
"Malaysia merupakan pencetus penggunaan lesen berwajib (compulsory licensing) bagi menjamin harga ubat-ubatan yang berpatutan buat rakyat terbanyak, kita perlu meneruskan legasi ini dalam mendepani cabaran masa depan," katanya.
Comentários