top of page

Kerajaan perlu gerakan kempen 'Yakin Vaksin' - PH



Jaminan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa vaksin Covid 19 akan tiba pada penghujung Februari ini mungkin menyelesaikan sebahagian masalah tetapi bukanlah penyelesaian untuk keseluruhannya.


Bagi Pasukan Petugas Imunisasi Pakatan Harapan, menerima dan menyuntik vaksin kepada 500,000 petugas barisan hadapan belum menjamin program vaksinasi kebangsaan Covid 19 akan berjaya.


Menurut mereka, terdapat kempen di peringkat antarabangsa dan dalam negara yang menyeru agar rakyat tidak mengambil vaksin.


Oleh itu, pasukan tersebut mencadangkan supaya kerajaan Perikatan Nasional melaksanakan kempen 'Yakin Vaksin' secara meluas ke seluruh negara bagi menghilangkan keraguan umum.


"Apa yang tidak disebut Perdana Menteri ialah sama ada satu kempen ‘yakin vaksin’ seluruh negara akan dilakukan demi meyakinkan rakyat vaksin yang digunakan adalah selamat dan berkesan dalam mengurangkan risiko jangkitan virus Covid-19.


"Kita tidak boleh beranggapan rakyat, malah para petugas barisan hadapan bersedia menerima vaksin apabila program vaksinasi bermula nanti.


"Gerakan anti-vaksin sedunia berkembang pesat dan tidak boleh dinafikan wujud kelompok “anti-vaxxer” di Malaysia yang tidak mahu mengambil vaksin Covid-19 ini, malah mungkin turut menggesa rakan-rakan mereka untuk tidak mengambil vaksin tersebut.


"Dalam era berita palsu ini, suara “anti-vaxxer” amat mudah berkembang melalui media sosial terutamanya," kata mereka dalam satu kenyataan.


Pada masa sama, menurut pasukan itu terdapat pelbagai pihak yang mempunyai kerisauan sah mengenai keberkesanan satu atau lebih vaksin yang akan digunakan.


Kata mereka, pada waktu ini Malaysia mempunyai persetujuan untuk menggunakan vaksin Pfizer-BioNtech, AstraZeneca, Sinovac dan CanSinoBIO dari China, serta Gamaleya National Center dari Rusia. Dan menjadi persepsi umum terdapat vaksin yang kurang berkesan berbanding yang lainnya


Menurut pasukan berkenaan, walaupun Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan mana-mana vaksin perlu mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) sebelum ia digunakan, namun ia belum cukup meyakinkan keseluruhan rakyat.


"Ramai rakyat yang tidak sedar tentang proses-proses yang dilalui NPRA sebelum sesuatu vaksin itu lulus. Tambahan pula, terdapat petanda-petanda yang satu atau lebih vaksin mungkin diberi ‘kelulusan bersyarat’.


"Oleh itu, amatlah penting asas saintifik serta kadar keberkesanan setiap vaksin yang bakal diguna di Malaysia diterbitkan dengan jelas. Satu kempen bersungguh-sungguh bersama saintis, para profesional perubatan, selebriti yang dihormati dan mana-mana tokoh lain yang bersesuaian wajar dilakukan.


"Apabila program vaksinasi dimulakan kelak, penting juga untuk melaksana program “jejak dan kesan” bagi setiap dos vaksin dari tempat simpanan hinggalah ke penerima.


"Ini dapat memberi keyakinan tambahan akan ada tindakan susulan yang bersesuaian yang berkaitan keberkesanan setiap vaksin bagi setiap individu yang telah diberi vaksin. Ini juga akan dapat mengelakkan vaksin palsu dan sijil vaksin palsu dari digunakan, di mana kejadian ini telah dilaporkan di beberapa negara," kata mereka lagi.


Strategi komunikasi yang berkesan, kata pasukan itu amat penting bagi mengurangkan keraguan awam terhadap Kesan Tidak Diingini Selepas Imunisasi (Adverse Event Following Immunization, AEFI).


Sama seperti mana-mana vaksin yang lain, kata mereka, sudah tentu akan ada individu yang mengalami kesan tidak diingini selepas diberi suntikan.


Jika hal itu tidak ditangani dengan cermat, berita negatif kes-kes AEFI selepas kumpulan penerima vaksin pertama akan menjadi penyebab kumpulan penerima yang akan datang enggan menerima vaksin Covid-19.


"Untuk itu Pasukan Petugas Imunisasi Pakatan Harapan menggesa Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang baharu dilantik untuk mengumumkan segera satu kempen “yakin vaksin” yang menyeluruh," kata mereka.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Dr Dzulkefly Ahmad, Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Pakatan Harapan, Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng), Dr Kelvin Yii (Ahli Parlimen Bandar Kuching), Dr Hatta Ramli (Ahli Parlimen Lumut), Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru), Dr Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Bangi), Dr Norlela bt Ariffin (Exco Kesihatan Pulau Pinang), Dr Siti Maria Mahmud (Exco Kesihatan Selangor)

dan Veerapan (Exco Kesihatan Negeri Sembilan).



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page