
Kerajaan Perpaduan perlu memberi peruntukan dana secukupnya dalam usaha untuk memperkasa sekolah Tamil.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Senator Saraswathy Kandasami (gambar, dua dari kanan) berkata pembangunan sekolah Tamil khususnya di luar bandar penting kepada pendidikan kanak kanak masyarakat India.
"Pembangunan sekolah Tamil khususnya sekolah di luar bandar amat penting. Diharap Kerajaan akan memperuntukkan dana secukupnya untuk pembangunan sekolah-sekolah tersebut.
"Saya sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selalu berusaha untuk memperkasakan sekolah tamil serta pelajarnya melalui perbincangan dengan YB Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying," kata Saraswathy dalam ucapannya di Majlis Perasmian Anugerah Kecemerlangan SJKT West Country (T) Kajang, baru baru ini.
Dalam ucapan itu juga beliau memohon lebih ramai ibu bapa mempertimbangkan untuk menghantar anak-anak ke sekolah Tamil.
Sekolah Tamil di Malaysia, katanya, walaupun dalam keadaan serba kekurangan tetap melahirkan ramai pelajar cemerlang dan berbakat malah beliau merupakan salah seorang daripadanya.
Dalam majlis tersebut Saraswathy turut menyampaikan anugerah cemerlang kepada beberapa orang murid. Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan kesenian para pelajar sekolah berkenaan.
Turut serta dalam majlis ini ialah Guru Besar Sekolah, Puan Gengamah, Penolong Pengarah Prasekolah dan Sekolah Tamil Negeri Selangor, Tuan Manisegar Seerangan, Puan Rozi Hazlina Binti Che Omar, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat, Yang Dipertua PIBG Sekolah Puan Anitha dan Ahli ahli Lembaga Pengarah Sekolah.