Oleh: Abdullah Zaid
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menyeru agar isu capaian internet lemah di kampus universiti tempatan segera diatasi.
Menerusi perkongsian di Facebooknya, Chean Chung menyuarakan kebimbangan tersebut susulan lawatan beliau di salah satu universiti awam, baru-baru ini.
"Dalam lawatan saya ke Universiti Putra Malaysia (UPM) minggu lepas, saya mendapati kelajuan data mobil amat terbatas di dalam kampus.
"Saya dimaklumkan oleh mahasiswa kejadian ini bukan sahaja berlaku di satu-satu bangunan fakulti, tetapi hampir seluruh kampus.
"Ada pengguna yang memerhatikan talian satu bar sahaja, dan apabila dalam bangunan, langsung tiada perkhidmatan," katanya.
Justeru, beliau yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN menggesa agar masalah capaian internet itu dipandang serius oleh pihak yang berkaitan.
"Ianya akan menjejaskan pengajaran dan pembelajaran puluhan ribu mahasiswa. Amat tidak logik apabila negara bertungkus lumus beralih kepada 5G, perkhidmatan 4G pula lumpuh dalam kampus di bandar.
"Saya akan membawa isu ini kepada Menteri Komunikasi. Saya juga meminta pihak universiti agar membantu mengembalikan akses data mobil kepada mahasiswa dalam kadar segera," ujarnya lagi.
Comentarios