top of page

Kerajaan perkukuh modal insan menerusi jelajah ‘Pocket Talk’ HRD Corp

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Perkembangan teknologi digital dan AI kini mengubah landskap pekerjaan dengan pantas, sekali gus menuntut pekerja untuk terus menambah ilmu dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan (gambar) berkata, sehubungan itu Kerajaan MADANI komited memperkukuh pembangunan modal insan negara menerusi program Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ HRD Corp – Dari Dasar ke Rakyat.


"Artificial Intelligence, automasi dan digitalisasi sedang mengubah cara kita bekerja. Saya selalu katakan, yang berbahaya bukan teknologi mengambil pekerjaan manusia.


"Yang berbahaya ialah apabila manusia berhenti belajar sedangkan teknologi terus berkembang.


"Kerajaan akan terus memberi fokus kepada pembangunan kemahiran menerusi pelbagai inisiatif di bawah KESUMA, termasuk program yang dilaksanakan oleh HRD Corp, TalentCorp, PERKESO dan Jabatan Tenaga Manusia (JTM)," katanya dipetik media tempatan.


Ramanan sebelumnya merasmikan Jelajah ‘Pocket Talk’ HRD Corp Dari Dasar Ke Rakyat di Johor Bahru pada Sabtu.


Mengulas mengenai program berkenaan Ramanan berkata, ia memberi penekanan kepada latihan kemahiran, upskilling dan reskilling dalam mendepani perubahan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) .


Program bertujuan memastikan setiap dasar serta peluang yang disediakan kerajaan benar-benar sampai dan memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi.


"Usaha memperkasa rakyat melalui pendidikan dan latihan kemahiran merupakan pelaburan jangka panjang negara dalam menghadapi cabaran ekonomi masa depan.


"Semua orang berhak mendapat peluang untuk meningkatkan kemahiran dan memperbaiki masa depan mereka," tambahnya.


Dalam ucapan sama beliau turut memaklumkan, inisiatif Skills4Johor telag menerima peruntukan RM20 juta daripada HRD Corp bagi menyokong pembangunan bakat tempatan, khususnya untuk memenuhi keperluan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ).


Ekosistem HRD Corp di Johor jelasnya menunjukkan impak memberangsangkan dengan 13,425 majikan berdaftar, hampir 480,000 pekerja menerima manfaat latihan serta lebih RM190 juta bantuan kewangan disalurkan kepada rakyat negeri itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page