Kerajaan perkukuh aset, pastikan kedaulatan Sabah terjamin


Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh penyelarasan aset dan maklumat pertahanan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan Sabah terus terpelihara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari (gambar) berkata, langkah itu susulan peningkatan keupayaan ketenteraan Filipina di Pulau Balabac.
Tambah beliau, kerjasama rentas agensi keselamatan turut diperketat bagi mengesan dan menangani pelbagai bentuk ancaman di kawasan kepulauan Sabah termasuk ancaman bukan tradisional secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, penyelarasan antara agensi keselamatan juga bakal diperkukuh bagi memastikan sebarang ancaman termasuk yang dianggap bukan ancaman tradisional terhadap kawasan kepulauan Sabah dapat dikenal pasti dan ditangani secara menyeluruh.
"Kita ada angkatan tentera bersama yang mengkoordinasikan semua aset dan maklumat untuk memastikan keselamatan kita di Sabah serta ancaman, sama ada secara tradisional ataupun bukan tradisional, sentiasa dapat kita atasi.
"Penyelarasan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Keselamatan Wilayah Sabah turut diberi perhatian, khususnya di kawasan seperti Pulau Banggi," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Khamis.
Adly Zahari sementara itu menegaskan, usaha menjaga keselamatan dan kedaulatan negara bukan hanya menjadi tanggungjawab anggota keselamatan, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh rakyat.
"Rakyat keseluruhannya di Sabah, termasuk di kawasan-kawasan kepulauan itu, tahu apa yang mereka lakukan, apa kesan dan ancamannya kepada Sabah dan kepada Malaysia secara keseluruhan.
"Dalam Kertas Putih Pertahanan Negara kita, keselamatan negara kita melibatkan seluruh warga negara. Semua bertanggungjawab dengan apa yang mereka lakukan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara," tambahnya.




Comments