Kerajaan perhebat kempen Internet Selamat 2.0, fokus keselamatan kanak-kanak
- Suara Keadilan

- Dec 17, 2025
- 1 min read

Kementerian Komunikasi akan memperhebat pelaksanaan Kempen Internet Selamat 2.0 pada tahun hadapan bagi memperkukuh keselamatan dalam talian.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, kempen tersebut bakal memberi tumpuan kepada pembentukan masyarakat celik digital serta usaha melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman jenayah dalam talian.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Komuniti MADANI sebagai ejen penyampaian mesej keselamatan Internet.
“Kita nak libatkan semua Komuniti MADANI menjadi ejen komunikasi menyampaikan mesej yang sama, iaitu untuk memastikan Internet itu selamat.
"Namun (usaha) ini bukan hanya tanggungjawab MCMC, kerajaan atau PDRM, tetapi ibu bapa dan komuniti juga perlu memainkan peranan untuk memastikan anak-anak selamat,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya, pada Selasa.
Fahmi turut memberitahu, sepanjang tahun ini, lebih 8,500 sekolah dengan melibatkan hampir 400,000 pelajar telah menyertai Kempen Internet Selamat 1.0 sekaligus mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan siber dalam kalangan masyarakat.
Beliau sementara itu juga memaklumkan, kementerian juga akan melancarkan mega jerayawara keselamatan Internet bersempena Hari Keselamatan Internet Sedunia pada Februari depan.
Jerayawara melibatkan jelajah ke seluruh negara itu bagi memastikan mesej keselamatan Internet difahami dan diamalkan sehingga ke peringkat akar umbi.









Comments