Kerajaan perhalusi cadangan luaskan perlindungan sosial pekerja


Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan bersetuju memperhalusi cadangan perluasan liputan perlindungan sosial secara berfasa ke atas populasi umur bekerja rakyat negara ini yang mencapai umur 18 tahun bermula tahun depan, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan bagi menjamin pendapatan hari tua itu akan dibawa oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui Kementerian Kewangan (MOF) untuk kelulusan Jemaah Menteri.
"Melalui MySPC (Majlis Perlindungan Sosial Malaysia), kerajaan menyasarkan agar jaringan keselamatan sosial negara dapat diperkukuh dan diperluaskan.
"Malah ia perlu segera diterjemahkan kepada pelan tindakan yang dapat dilihat, dirasai dan dinikmati oleh rakyat yang berhak ke atasnya," kata kenyataan yang dikeluarkan pejabat Perdana Menteri hari ini.
Terdahulu Anwar mempengerusikan Mesyuarat MySPC di bangunan Parlimen yang turut dihadiri timbalannya Datuk Seri Fadillah Yusof dan beberapa Menteri Kabinet.
Kata kenyataan itu, hasrat meluaskan jaringan keselamatan sosial boleh dicapai melalui penyelarasan dan pelaksanaan program perlindungan sosial secara inklusif serta peningkatan kapasiti dan keupayaan kumpulan sasar yang bersepadu.
Tambahnya, kerajaan sentiasa meneliti kaedah terbaik dalam meningkatkan liputan keselamatan sosial kepada populasi umur bekerja terutamanya yang berada dalam sektor tidak formal.
Selain itu, kerajaan juga berusaha untuk mengatasi jurang kemahiran dalam sumber manusia serta memastikan kemampanan
pembiayaan perlindungan sosial, kata kenyataan itu.
"Perkara ini selari dengan pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu. Perlindungan sosial yang mampan mampu memastikan setiap rakyat kekal menikmati taraf hidup yang wajar ketika mereka berdepan dengan sebarang risiko di sepanjang kehidupan.
"Kerajaan melalui Mesyuarat MySPC telah membincangkan mengenai liputan perlindungan sosial yang lebih inklusif dan komprehensif kepada rakyat terutama kumpulan rentan dan mereka yang berada dalam sektor tidak formal," ujarnya




Comments