top of page

Kerajaan pastikan harga minyak bersubsidi kekal, kukuh perlindungan rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 58 minutes ago
  • 2 min read

Kerajaan MADANI terus memperkukuh langkah perlindungan kepada rakyat dan industri susulan kenaikan harga minyak mentah dunia akibat meningkatnya ketegangan di rantau Teluk yang memberi tekanan kepada kos import bahan api negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).


Menurut beliau, tindakan terkini Amerika Syarikat yang mencetuskan ketidaktentuan geopolitik telah menyebabkan harga minyak mentah Brent naik sehingga mencecah AS$81 setong pada 14 Julai, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi negara.


"Saya setuju dia satu masalah boleh selesai tetapi dengan tindakan Amerika Syarikat terakhir ini terus membimbangkan. Sehingga hari ini (harga petroleum) Brent pada 14 Julai telah mencecah AS$81 setong, itu lonjakan yang sangat tinggi walaupun dia tak sampai kepada keadaan sehingga AS$144 kemuncak pada 7 April lalu," katanya dalam sesi PMQT di Dewan Rakyat menjawab soalan Ahli Parlimen Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu).


Anwar berkata, sebagai negara yang masih mengimport sebahagian keperluan petroleum, Malaysia terkesan dengan kenaikan harga bahan api global.


Justeru, katanya, kerajaan memberi keutamaan kepada strategi melindungi rakyat, memastikan bekalan bahan api mencukupi pada harga munasabah, di samping membantu sektor industri serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.


"Sebahagian daripada keperluan import kita petrol dan diesel itu amat mengesankan. Sebab itu strategi terpaksa memikirkan soal perlindungan kepada rakyat dan juga bagaimana dalam keadaan kegawatan ini menstabilkan harga, terutama bekalan harus mencukupi dan harga munasabah.


"Kemudian untuk industri itu bagaimana dana bantuan kepada mereka dan akhirnya daya tahan ekonomi," katanya.


Beliau berkata, antara langkah yang diambil ialah meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion bagi tahun 2026, yang memanfaatkan lebih sembilan juta penerima termasuk enam juta Melayu Bumiputera.


Pada masa sama, katanya, subsidi bahan api disalurkan secara berasingan dan nilainya berubah mengikut turun naik harga minyak dunia.


"Apabila BUDI95 diturunkan kepada RM1.99 seliter dan BUDI Diesel RM2.10, kerajaan pada asalnya menganggarkan perbelanjaan sekitar RM800 juta sebulan bagi Januari hingga Februari 2026.


"Bagaimanapun apabila meletus perang, subsidi meningkat kepada RM5 bilion sebulan bagi Mac dan April, manakala pada Mei apabila harga minyak turun sedikit, jumlah subsidi berkurangan kepada RM4 bilion," katanya.


Selain itu, Anwar berkata kerajaan turut menambah peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM3.1 bilion bagi membantu golongan memerlukan menghadapi peningkatan kos sara hidup.


Dalam usaha menjamin bekalan tenaga jangka panjang, beliau berkata Malaysia turut mempelbagaikan sumber bekalan bahan api melalui kerjasama strategik dengan beberapa negara.


"Presiden Putin dari Rusia telah memberi jaminan bekalan diesel jangka panjang ke Malaysia yang kita meterai.


"Kemudian Turkmenistan memberikan telaga bekalan gas antara terbesar di dunia untuk kita kendalikan. Malaysia akan menjadi antara pemilik gas yang terbesar di dunia," katanya.


Anwar turut memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi Perusahaan Kecil Menengah dan Sederhana (PKMS), termasuk RM5 bilion yang dikhususkan untuk memperkukuh penyertaan Bumiputera.


Mengulas soalan tambahan mengenai retorik Perdana Menteri untuk menurunkan harga minyak lebih sedekad lalu, Anwar menegaskan harga petrol di Malaysia ketika ini lebih rendah berbanding beberapa negara pengeluar minyak utama di Asia Barat.


"YB Hulu Terengganu, harga minyak di Malaysia ini lebih rendah dari Qatar dan Arab saudi


"Betul masa kita minta turun RM1.70 harga minyak di Arab saudi 50 sen. Sekarang kita RM1.99 harga Arab Saudi RM2.40 dan UAE, pengeluar minyak dan gas yang besar menaikkan harga.


"Ini kenyataan ekonomi yang berubah," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page