top of page

Kerajaan Pas T'ganu perlu transformasi, kerjasama dengan Persekutuan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 1
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri (MPN) Terengganu hari ini tampil dengan beberapa tuntutan bagi memastikan dasar pembangunan negeri ditadbir Pas itu lebih berdaya tahan dan berfokus kepada jangka panjang.


Ketua Penerangannya, Aiman Wan Alias berkata, tuntutan itu merangkumi transformasi digital ekonomi negeri dengan memperluas inisiatif e-dagang, digitalisasi peruncitan dan pemasaran dalam talian, khususnya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan negeri.


Tuntutan kedua katanya, melibatkan integrasi pelancongan dengan infrastruktur strategik dengan mengoptimumkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui projek East Coast Rail Link (ECRL).


"Ia termasuklah pembangunan berasaskan Transit-Oriented Development (TOD) seperti kampung warisan dan taman agro-pelancongan di sepanjang laluan.

Aiman Wan Alias
Aiman Wan Alias

"Seterusnya ialah kerjasama rentas politik. Mencontohi model kerjasama Kerajaan Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan, di mana keterbukaan tanpa prejudis politik telah memberi manfaat kepada rakyat.


"Pendekatan ini wajar dilaksanakan di Terengganu demi kepentingan rakyat, khususnya golongan belia," katanya dalam satu kenyataan.


Terdahulu, MPN Terengganu menyambut baik hasrat Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memperkenalkan konsep cooperative federalism dan fiscal federalism dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).


Bagaimanapun MPN mendakwa, kenyataan tersebut masih bersifat retorik tanpa disertai langkah pelaksanaan yang jelas.


"Kerajaan Negeri seharusnya menunjukkan kesediaan bekerjasama serta mengambil pendekatan proaktif terhadap keterbukaan Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan Terengganu.


"Cadangan penubuhan Suruhanjaya bagi mengkaji dasar pembangunan negara boleh dipertimbangkan, namun ia perlu disertai dengan reformasi pentadbiran negeri yang lebih sistematik, berpaksikan data dan berorientasikan keberkesanan untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang politik.


"Kami menegaskan bahawa pembangunan sebenar hanya akan tercapai apabila kerajaan negeri berhenti menyalahkan pihak lain dan mula mengambil tanggungjawab penuh sebagai pemerintah.


"Konsep cooperative federalism mestilah diterjemahkan melalui tindakan yang adil, inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat, bukannya sekadar retorik politik," ujarnya lagi.


Untuk rekod, konsep pentadbiran Kerajaan Pas Terengganu berbeza dengan Kelantan, yang mana pemimpin Pas Terengganu lebih banyak mempersoalkan Kerajaan Persekutuan berhubung dana ihsan, royalti petroleum, peruntukan kerajaan dan sebagainya, berbanding pemimpin Pas kerajaan Kelantan yang lebih bekerjasama dalam bidang ekonomi dan pentadbiran.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page