Kerajaan pantau rapi geopolitik, laksana langkah lindungi ekonomi – PM
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 1 min read

Kerajaan akan melaksanakan langkah intervensi awal secara proaktif dan tuntas bagi memastikan ketahanan ekonomi negara terus terpelihara susulan perkembangan geopolitik semasa dan tekanan ekonomi global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 3/2026 yang dipengerusikannya pagi tadi.
"Mempengerusikan MTEN bagi meneliti perkembangan geopolitik semasa, tekanan ekonomi global serta implikasi keselamatan susulan konflik di Asia Barat," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, walaupun negara masih dalam suasana perayaan Aidilfitri, kesejahteraan rakyat khususnya berkaitan kos sara hidup kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.
"Beberapa langkah intervensi awal yang proaktif dan tuntas akan dilaksanakan segera bagi memastikan ketahanan ekonomi negara terus terpelihara," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut menggembleng usaha bagi menjamin keterjaminan bekalan tenaga negara, termasuk mempelbagaikan sumber serta meneroka laluan alternatif.
"Ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan berisiko seperti Selat Hormuz," katanya.
Tambah beliau, kerajaan akan terus memantau situasi semasa secara rapi serta memastikan maklumat disalurkan secara telus kepada rakyat.
"Dalam mendepani cabaran ini, ketenangan, disiplin dan semangat kebersamaan amat penting untuk memastikan negara kekal stabil dan berdaya tahan," katanya lagi.




Comments