Oleh: Noraini Nordin
Di sebalik kemaraan gelombang hijau yang kononnya bakal menenggelamkan Pulau Pinang, Ketua Wanita KEADILAN Pulau Pinang, Nurhidayah Che Ros berkata, pengundi di negeri itu secara umumnya menerima baik kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri Malaysia.
Menurut beliau, dalam siri jelajah yang dilakukan Wanita KEADILAN ke kawasan DUN DUN Pulau Pinang baru-baru ini didapati hampir semua mereka berpuas hati dengan kerajaan pusat dan juga Kerajaan Negeri.
"Mereka tahu tentang i-sejahtera, apa itu ibu emas dan program lain untuk warga emas.
"Ini bermakna ADUN, MPKK, JPWK, JBPP dan lain-lainnya telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik.
"Kalau mereka tidak menjalankan tugas dengan baik, macam mana rakyat di bawah mendapat semua maklumat itu. Terima kasih diucapkan," katanya ketika berucap di Program Jelajah Madani di DUN Seberang Jaya, Pulau Pinang malam tadi.
Pun begitu, Nurhidayah melahirkan rasa terkilan kerana begitu banyak fitnah-fitnah disebarkan bila tiba musim pilihanraya.
Beliau memberi contoh isu lapuk mengenai azan yang kononnya tidak boleh dikumandangkan di Pulau Pinang yang muncul setiap kali tibanya waktu pilihanraya.
Katanya, walaupun ada pelbagai kaum tinggal di negeri itu mereka tidak pernah bergaduh antara satu sama lain berhubung hal agama.
Tambahan lagi, tegas beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP tidak pernah sama sekali menyekat pembangunan Islam di negeri berkenaan.
"Daripada tahun 2018 hingga 2023, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan lebih kurang RM840 juta untuk pembangunan syiar Islam.
"Jumlah itu tidak termasuk dana zakat, wakaf dan sebagainya.
"Untuk wanita, melalui Penang Women Development yang di bawahnya ada JPWK, melaluinya juga disediakan peruntukan kewangan yang berpatutan," ujar Nurulhidayah lagi.
Justeru, beliau mahu semua maklumat kejayaan kerajaan Pulau Pinang disebarkan bagi menunjukkan Kerajaan Perpaduan amat bertanggungjawab serta stabil dalam menjaga kebajikan rakyat.
Comments