Kekurangan minyak masak paket atau minyak masak subsidi RM2.50 di pasaran sejak beberapa bulan lalu meresahkan pengguna.
Ahli Parlimen Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH - Kapar) menyuarakan kebimbangannya berhubung terputusnya bekalan minyak berpaket dan usaha kerajaan untuk menanganinya.
"Apakah komitmen bagi memastikan bekalan minyak masak peket bersubsidi ini mencukupi dan mampu sampai kepada golongan sasar," kata Abdullah dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat.
Bagaimanapun Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjawab secara bertulis.
Beliau berkata kerajaan akan memastikan minyak masak tidak putus bekalan dengan mengarahkan pemeriksaan dan pengauditan di setiap peringkat rantaian pengedaran minyak masak melalui aktiviti semakan Pre-Delivery Plan; Menjalankan pemeriksaan pematuhan permit ke atas peniaga-peniaga kecil dan pengusaha restoran; Membuat risikan ke atas pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit dengan sasaran terpilih yang disyaki menyeleweng minyak masak bersubsidi termasuk risikan ke negara jiran seperti Thailand.
Juga dengan mengambil langkah menetapkan had pembelian minyak masak polibeg sebanyak 3 paket untuk memastikan lebih ramai pengguna isi rumah dapat menikmati subsidi yang diberikan oleh Kerajaan; Mempertingkatkan keriasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM); Mengadakan publisiti yang meluas melalui media arus perdana dan media sosial bagi mempertingkatkan kesedaran serta mewujudkan kegerunan di kalangan peniaga; dan Melaksanakan Pemeriksaan Ops ATM melibatkan barang kawalan seperti ayam, telur dan minyak masak secara harian di setiap peringkat rantaian pembekalan dan pengedaran bertujuan untuk memastikan keberadaan bekalan adalah stabil dan tidak berlaku kegiatan sorok barang kawalan.
Comments