top of page

Kerajaan, NGO digesa tingkat usaha bela Palestin - Amal Islami YADIM



Oleh: Helmi Mohd Foad


Rakyat dan kerajaan perlu meningkatkan kerjasama memperkukuhkan pendirian serta tindakan membela Palestin sehingga tercapai hak dan kemerdekaan sebagai sebuah negara yang berdaulat.


Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM-YADIM) dalam kenyataan berkata, usaha perlu dilakukan untuk menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bertindak menghentikan peperangan dan menuntut gencatan senjata segera bagi mengelakkan keganasan Israel berterusan.


"Kami menzahirkan bantahan keras terhadap jenayah genosid dan jenayah perang yang berterusan dilancarkan dari 7 Oktober 2023 sehingga hari ini yang sudah menjangkau 121 hari tanpa henti oleh Zionis Israel.


"Tambahan pula Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda telah mengarahkan Israel mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah genosid di Gaza.


"Jenayah genosid mengikut undang-undang antarabangsa di Konvensyen Genosid 1948 dianggap ibu segala jenayah. Dengan himpunan segala bukti yang terlalu jelas, tindakan barbarik Zionis Israel itu melanggar seluruh resolusi dan perundangan dunia masih berterusan malah semakin meningkat," kata kenyataan tersebut.


MAIM-YADIM menggesa supaya mangsa keganasan di Gaza diberikan bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti makanan, ubatan, perlindungan, air minuman termasuk membawa pesakit-pesakit yang cedera untuk mendapat rawatan di Malaysia.


"Kutipan Tabung kemanusiaan untuk Gaza perlu diselaraskan secara telus bagi memastikan bantuan sampai ke sana," katanya.


Kenyataan itu menegaskan keadaan kritikal di Gaza perlu menyentuh sanubari setiap individu rakyat negara ini.


"Sikap tidak peduli dan mendiamkan diri tidak boleh diterima. Suara rakyat Malaysia membantah kezaliman Zionis Israel perlu diketengahkan dengan konsisten.


"Kami menyeru para pendakwah di negara ini memainkan peranan agar masyarakat di Malaysia faham dan sedar bahawa tanggungjawab agama dan kemanusiaan perlu dilaksanakan untuk membela warga Palestin yang tertindas," ujarnya.


Dalam pada itu katanya, keahlian Israel dalam PBB perlu digantung sekiranya rejim itu ingkar arahan ICJ dalam isu Gaza demi menjaga kredibiliti PBB walaupun sebenarnya negara haram itu sepatutnya telah lama digantung keahlian kerana dasar aparteid, penghapusan etnik dan jenayah genosid yang diamalkannya.


"Kempen memboikot barangan dan perkhidmatan pro-Israel perlu dilancarkan dengan berkesan. Mengadakan perhimpunan aman untuk mengembleng masyarakat di Malaysia agar suara bantahan terus diketengahkan tanpa henti ke peringkat antarabangsa," katanya.


Terdahulu kenyataan itu berkata akibat kegagalan badan dunia menghukum Israel dengan jenayah genosid, bilangan mangsa di Gaza meningkat sehingga kepada skala paling mengejutkan.


Kini jumlah korban sudah melebihi 26,500 orang termasuk 11,000 kanak-kanak dan 7,000 wanita serta lebih 65,000 mangsa tercedera.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page